Malaysia mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan udara rejim Israel terhadap konvoi World Central Kitchen (WCK) yang mengakibatkan tujuh pekerja bantuan badan amal itu terbunuh.
Melalui satu kenyataan oleh Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Rabu, Malaysia juga jelasnya mengambil maklum dan turut berdukacita apabila WCK menangguhkan operasinya disebabkan oleh insiden tragis itu.
"Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, serta pemimpin kerajaan negara-negara yang berduka atas kehilangan warganegaranya dalam serangan yang tidak berperikemanusiaan ini.
"Penangguhan operasi WCK akan menghalang usaha bantuan segera, menambahkan lagi kesengsaraan rakyat Palestin yang sedang bergelut dengan kebuluran dan penyebaran penyakit," menurut Wisma Putra.
Media melaporkan, konvoi itu diserang ketika ia meninggalkan gudang Deir al-Balah, selepas memunggah lebih 100 tan bantuan makanan kemanusiaan yang dibawa ke Gaza melalui laut.
Mangsa yang terkorban termasuk tiga warga Britain, seorang warga Poland, seorang warga Australia, seorang Palestin dan seorang yang memegang dwi-kewarganegaraan Amerika Syarikat-Kanada.
Sementara itu Wisma Putra dalam kenyataannya menegaskan, rejim Israel harus mematuhi Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2728 untuk memastikan perlindungan dan bantuan sampai kepada rakyat Palestin, dan konflik di Gaza mesti berakhir.
"Malaysia kekal dengan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin dalam mendapatkan kembali hak-hak mereka untuk berdiri sendiri.
"Malaysia berpegang teguh kepada penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin dan diterima sebagai ahli anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," kata Wisma Putra.
Comentarios