Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ismail Haniyeh, Ketua Biro Politik Hamas dan bekas Perdana Menteri Palestin serta salah seorang pengawal peribadinya dalam serangan udara di Teheran, Iran pada awal pagi ini.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Malaysia menggesa siasatan penyeluruhan perlu segera dilakukan terhadap pembunuhan pemimpin Palestin itu bagi membolehkan pelakunya dibawa ke muka pengadilan.
"Malaysia mengucapkan takziah dan menzahirkan simpati kepada ahli keluarga, serta barisan kepimpinan dan rakyat Palestin.
"Malaysia tanpa ragu-ragu mengutuk semua tindakan keganasan, termasuk pembunuhan yang disasarkan, dan menggesa semua negara yang cintakan keamanan untuk turut sama mengecam tindakan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Wisma Putra berkata insiden ini menekankan keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan dan memperkukuhkan keperluan semua pihak untuk terlibat dalam dialog konstruktif dan mencari penyelesaian damai.
"Malaysia juga menggesa semua pihak untuk bersikap tenang sementara fakta-fakta mengenai pembunuhan ini sedang dikenal pasti," katanya.
Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin di samping mengiktiraf jasa Ismail dalam perjuangan beberapa dekad menentang rejim Zionis.
"Malaysia mengiktiraf peranan dan sumbangan Ismail Haniyeh dalam usaha membebaskan Palestin dan rakyatnya dari penjajahan haram Israel," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Wisma Putra turut memaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul yang kini berada di Teheran sebagai wakil Malaysia ke majlis angkat sumpah Presiden Republik Islam Iran bersama semua ahli delegasi Malaysia berada dalam keadaan selamat.
Comments