Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dan Korea Selatan bersepakat untuk meningkatkan kerjasama dalam empat bidang utama iaitu politik, ekonomi, pendidikan dan pelancongan serta serantau.
Perdana Menteri berkata, kunjungannya ke republik tersebut begitu penting kerana kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik yang telah terjalin sejak 1960.
Terdahulu Anwar memulakan acara pertama di Korea dengan melakukan kunjungan rasmi ke Pejabat Presiden di Yongsan sambil disambut Presiden Yoon Suk Yeol.
"Kunjungan ini menjadi terpenting tatkala Malaysia dan Korea Selatan akan bersama menyambut ‘sapphire jubilee’ pada 2025, selain terus mencari ruang dan lapangan bagi merapatkan kerjasama erat kedua-dua negara.
"Korea bakal mempengerusikan APEC dan Malaysia bakal mempengerusikan ASEAN pada tahun hadapan. Presiden Yoon dan saya lantas berikrar untuk bekerja dengan lebih dekat dan sederap bagi melonjak kepentingan dan nilai yang dikongsi secara bersama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan dikongsi di media sosial, Anwar berkata, bagi kerjasama serantau dan global kedua-dua negara mengecam keras tindakan Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) yang telah melancarkan peluru berpandu balistik pada 31 Oktober lalu, selain mempertegas beberapa isu serantau dan global yang lain.
"Malaysia dan Republik Korea akan terus bekerjasama di pelbagai lapangan yang berkepentingan selain mendepani tantangan yang mengesankan rantau dan dunia," katanya.
Terdahulu Perdana Menteri menyatakan, Malaysia dan Korea sepakat untuk meningkatkan kerjasama dalam aspek aspek pelaburan dan perdagangan, menyemarak Dasar Pandang Ke Timur 2.0, kerjasama digital dan teknologi maklumat, infrastruktur, kesihatan dan sains perubatan; alam sekitar dan tenaga dan pertanian.
Selain itu katanya, kerjasama juga akan ditingkatkan dalam bidang budaya, pendidikan dan pelancongan di mana kedua-dua negara bersetuju untuk mempertingkat kerjasama di sektor awam dan swasta dan TVET.
Dalam pada itu, dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan dua hala itu, Malaysia dan Korea Selatan mengekalkan komitmen untuk menggalakkan iklim pelaburan yang selaras dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Kata kenyataan itu, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan memacu inisiatif penyelidikan dan pembangunan serta menggalakkan pertukaran teknologi antara perniagaan di negara masing-masing.
"Bidang tumpuan termasuk teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), ekonomi digital, ekosistem halal dan agenda hijau," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menekankan komitmen bersama untuk meningkatkan perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi.
"Kedua-dua pihak bersetuju untuk mempercepatkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dua hala, yang disambung semula pada Mac 2024, untuk memuktamadkannya pada 2025," katanya.
Comments