
Kerajaan akan melaksana pelbagai langkah strategik untuk mencapai sasaran sifar karbon menjelang 2050, tegas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Nik Nazmi Nik Ahmad menerusi satu sidang media berkata, ketika ini Kerajaan Perpaduan sedang giat membangun dan mempelbagaikan sumber tenaga baharu yang lebih lestari dan berdaya saing.
Justeru beliau optimis sasaran itu mampu dicapai sekaligus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju tenaga mampan di rantau ini.
"Kami memberi tumpuan kepada isu keselamatan tenaga dan juga kepada isu kelestarian tenaga.
"Malaysia telah menyatakan komitmen untuk tidak membina loji janakuasa tenaga baharu, sementara kerajaan mengkaji potensi tenaga nuklear sebagai sumber tenaga jangka panjang yang lebih bersih," katanya dipetik.
Nik Nazmi sebelumnya hadir merasmikan ASEAN Youth Economic Forum 2025 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Dalam pada itu beliau menegaskan, bahawa keselamatan dan kelestarian tenaga menjadi keutamaan pihaknya dalam memastikan peralihan tenaga yang lancar serta mengurangkan pelepasan karbon secara berperingkat.
"Dalam peralihan ke arah tenaga hijau, terdapat jurang yang perlu diisi dengan sumber tenaga sementara.
"Oleh itu, gas dapat dijadikan bahan api peralihan untuk memastikan keperluan tenaga negara terus dipenuhi tanpa menjejaskan usaha dekarbonisasi," tambahnya.
Comments