Malaysia mengamalkan pendekatan dasar luar yang seimbang antara Barat dan Timur dengan mengelakkan sebarang pendirian yang dianggap provokatif, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri (PM) berkata, Putrajaya berhubung baik dengan Amerika Syarikat dan Eropah dan pada masa sama mengekalkan hubungan dua hala yang sangat baik dengan China, Korea Selatan dan Jepun.
"Kami melibatkan diri dan bergantung kepada sokongan, kerjasama dan pelaburan dari Barat seperti Amerika Syarikat dan Eropah, pada masa yang sama mengekalkan hubungan dua hala yang sangat baik dengan China dan Jepun."
"Terutama dengan China kerana terdapat pelaburan dan minat yang semakin meningkat," katanya dipetik pada sesi pleno pembukaan Forum Ekonomi Dunia Khas (WEF): Visi baharu untuk pembangunan global di Riyadh, Arab Saudi semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia sangat jelas untuk tidak memasuki sebarang pandangan yang dianggap provokatif terhadap satu sama lain.
"Kami mengalu-alukan pelaburan berdasarkan peraturan kami dan tidak akan membuat sebarang keputusan yang disifatkan sebagai provokatif," katanya.
Mengulangi pendirian Malaysia, Perdana Menteri berkata, pihaknya tidak mahu kuasa ekonomi global mengambil sikap memaksakan polisi mereka terhadap negara, sebaliknya perlu mengikut segala polisi yang telah ditetapkan.
Namun katanya secara kumulatif, perdagangan Malaysia dengan negara Barat seperti Amerika Syarikat kekal nombor satu.
"Kami perlu mengemudi dengan bijak dan kami bernasib baik kerana terdapat konsensus ASEAN mengenai perkara ini, walaupun tidak sepenuhnya kerana kekuatan yang berbeza tetapi sekurang-kurangnya dalam mekanisme pertubuhan serantau itu terdapat pendirian seperti ini yang kami mengekalkan neutraliti kami," katanya
Anwar turut menekankan keperluan untuk penglibatan yang lebih luas dengan negara-negara Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah.
"Kami tidak boleh melakukannya bersendirian dan kami perlu terlibat," katanya.
Beliau berkata dalam ASEAN, walaupun terdapat sedikit perbezaan dalam isu dasar luar, tumpuan dan penglibatan serta hubungan dua hala antara negara anggota masih sangat baik.
"Jadi kami tidak mempunyai sebarang isu, perlu bekerja bersama sebagai satu pasukan. Dan itulah sebabnya ASEAN kini menjadi antara salah satu kuasa yang paling padu, kuasa sub-serantau di dunia. Dan kami kini lebih menumpukan pada perdagangan pelaburan dan pelaburan dalam perdagangan," katanya.
Mengenai isu geopolitik, Anwar berkata walaupun situasi kompleks yang menjejaskan Timur Tengah, khususnya kemarahan dan kekecewaan terhadap krisis Gaza, ekonomi negara Islam tidak sepatutnya terjejas.
Anwar memuji Arab Saudi kerana menjadi tuan rumah pertemuan itu dan menggesa kerajaan itu untuk terus memainkan peranan dalam melibatkan diri dengan ekonomi membangun dan sedang pesat membangun, terutamanya dalam kalangan masyarakat Islam.
"Isu (Palestin) itu penting dan asas kepada kita, tetapi pada masa yang sama, kita perlu bertahan. Ekonomi perlu kukuh dan asasnya perlu dibina," katanya.
Bertemakan "Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan", mesyuarat dua hari itu mengadakan lebih 1,000 pemimpin global dari 92 negara, termasuk ketua negara dan kerajaan, pemimpin pemikir dari sektor awam dan swasta, serta organisasi antarabangsa, institusi akademik dan pertubuhan bukan kerajaan.
Comments