Malaysia kekal tegas perjuangkan isu Palestin hadapi kuasa besar
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Malaysia tetap perlu komited untuk menyatakan sokongan konkrit kepada rakyat Palestin, biarpun terdapat pihak berpendapat Amerika Syarikat boleh menggunakan 'senjata' tarif kepada negara yang tidak sehaluan dengannya.
Naib Ketua Pemuda AMANAH, Faris Arriffin menegaskan dalam perkembangan semasa, tarif baharu yang dikenakan oleh AS bukanlah hukuman kepada negara penyokong Palestin.
Sebaliknya beliau berkata, pelaksanaan tarif baharu itu lebih berkisar tentang kuasa, untung rugi dan hegemoni dagang.
Katanya, negara Asia Tenggara seperti Kemboja, Laos, Vietnam dan Thailand juga dikenakan tarif tinggi meskipun tidak menyuarakan sokongan lantang terhadap Palestin.

"Malaysia mesti kekal tegas dalam perjuangan membela Palestin. Ini bukan isu Timur Tengah semata-mata tetapi isu kemanusiaan. Isu hak untuk hidup, pulang dan merdeka.
"Kita tidak tunduk pada tekanan kuasa besar. Kita tidak jual prinsip demi keuntungan sementara.
"Kita berpihak pada yang benar walau yang benar itu lemah. Kita lawan yang zalim walau mereka kuat," tegas beliau menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, Faris turut menitipkan pesanan kepada pemimpin negara agar tidak goyah dengan ugutan ekonomi.
Katanya, sejarah akan menjadi saksi keberanian pemimpin negara dan tidak perlu goyang kepada ugutan ekonomi.
"Malaysia tidak dibina atas ketakutan, tetapi atas keberanian, prinsip dan maruah.
"Lihat negara-negara yang dipulau seperti Iran.. 40 tahun disekat, namun bangkit jadi kuasa teknologi dan industri.
"Malaysia juga boleh, jika kita berani, percaya pada diri sendiri dan utamakan maruah.
"Jika kita tunduk sekarang, kita bukan hanya khianat kepada Palestin, tapi juga terhadap prinsip kita sendiri," ujar beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Harapan Wilayah Persekutuan.
Comments