Oleh: Azuan Ab Rahman
Malaysia mengutuk keras keangkuhan rejim Israel yang terus melakukan serangan terhadap penduduk Palestin.
Wisma Putra melalui satu kenyataan pada Isnin menggesa masyarakat antarabangsa untuk menggunakan semua jalan penyelesaian bagi menamatkan konflik, sekaligus mencegah kehilangan lebih banyak nyawa tidak bersalah.
Gesaan itu susulan serangan tentera Israel ke atas pelarian Nuseirat di tengah Gaza yang mengorbankan lebih 270 rakyat Palestin serta mencederakan 600 yang lain.
"Adalah tidak wajar membenarkan Israel melakukan pembunuhan sewenang-wenangnya dan menyasarkan tempat perlindungan pelarian.
"Tindakan ini dilakukan semasa rundingan damai antara pihak bertelagah sedang berjalan, (ia) hanya menggambarkan ketidakikhlasan rejim Israel," menurut kenyataan itu.
Tambah Wisma Putra, kebiadapan Israel terserlah apabila terus melakukan serangan kepada warga Palestin walaupun seruan dan rayuan berkali-kali oleh rakyat antarabangsa dan agensi kemanusiaan untuk menamatkan pembunuhan berterusan yang tidak berperikemanusiaan.
"Serangan berterusan Israel ke atas orang awam ini menyamai jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai (genosid), memperolokkan undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
"Kepimpinan Israel mesti dibawa ke muka pengadilan di atas pendudukan haramnya di Palestin dan tindakan mengorbankan nyawa manusia," menurut kenyataan itu lagi.
Pengeboman dan serangan Israel yang berterusan dalam tempoh 247 hari telah membunuh seramai 37,084 rakyat Palestin, kebanyakkan adalah wanita dan kanak-kanak, serta menyebabkan lebih ramai lagi cedera.
Comments