Malaysia mengeluarkan kenyataan kecaman terhadap Israel susulan tindakan rejim itu menyerang beberapa kem perlindungan Palestin di Tal as-Sultan, Jabalia, Nuseirat dan Bandar Gaza.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan berkata, tindakan rejim Israel menyerang tanpa henti dan belas kasihan terhadap rakyat Palestin adalah melanggar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 24 Mei lalu yang menuntut agar serangan tentera dihentikan serta-merta.
"Tindakan berterusan Israel yang tidak menghiraukan keputusan ini menunjukkan Israel tidak menghormati badan kehakiman tertinggi dunia dan prinsip-prinsip yang dipegangnya.
"Ketidakpedulian masyarakat antarabangsa terhadap kekejaman ini akan memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang semakin genting di Gaza.
"Ia akan menggugat aturan dunia, yang jelas berdasarkan kepada prinsip keadilan dan undang-undang antarabangsa," katanya dalam kenyataan.
Serangan terbaharu Israel itu dilapor telah mengorbankan hampir 200 orang awam yang tidak berdosa dalam tempoh 24 jam.
Sepanjang 234 hari konflik berlangsung, seramai 35,984 rakyat Palestin terutamanya wanita dan kanak-kanak terbunuh dan dijangka lebih ramai mangsa yang tercedera.
Sementara itu Wisma Putra dalam kenyataan sama menggesa masyarakat antarabangsa, termasuk negara anggota Konvensyen Genosid untuk mengambil langkah yang perlu.
"Keganasan yang berterusan ini hanya akan dapat dihentikan melalui usaha komited ke arah perjanjian damai yang komprehensif, demi memastikan rakyat Palestin dapat hidup dengan bermaruah, rasa hormat dan selamat pada masa hadapan," tegasnya.
Comments