Oleh: Akmal Manaf
Malaysia mengecam serangan berterusan melibatkan operasi udara dan darat Israel ke atas sempadan selatan negara Lubnan yang boleh mencetuskan konflik lebih besar di rantau Asia Barat.
Menurut kenyataan Wisma Putra, Malaysia mengecam keras tindakan rejim Zionis yang secara jelas melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (PBB) dan undang undang antarabangsa yang mengancam keselamatan, kestabilan serta kedaulatan dan intergriti wilayah Lubnan.
"Malaysia bersolidariti bersama Lubnan dan masyarakat antarabangsa untuk mendesak rejim Zionis Israel melaksanakan gencatan senjata segera bagi mengelakkan bencana kemanusiaan yang lebih dahsyat di Lubnan.
"Penting bagi semua pihak untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan yang sedia tegang di rantau tersebut," kata kenyataan Wisma Putra.
Menurut kenyataan itu lagi, berikutan keadaan tegang, sembilan rakyat Malaysia telah meninggalkan Lubnan secara sukarela
Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Beirut sedang dalam persediaan melaksanakan evakuasi 15 lagi rakyat Malaysia bersama tiga warganegara asing yang merupakan pasangan kepada rakyat Malaysia yang berada di Lubnan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyifatkan pencerobohan dan serangan berterusan oleh Israel ke atas Lubnan, Syria dan Yaman adalah percubaan yang disengajakan.
Katanya, ia bertujuan untuk mengalihkan tumpuan masyarakat global daripada kekejaman dan tindakan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.
''Peningkatan ketegangan ini jelas bertujuan untuk mengekalkan pemimpin politik semasa Israel di tampuk kuasa dan mengelakkan daripada dipenjara.
''Nyawa-nyawa tidak berdosa dikorban demi karier politik seseorang," katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.
Terbaharu, dilaporkan 50 orang maut manakala 156 lagi cedera dalam serangan udara tentera Israel ke atas Lubnan dalam tempoh 24 jam.
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, 11 daripada kematian dilaporkan di daerah Baalbek-Hermel, Gabenor Nabatieh (22), masing-masing tiga di Beirut dan Gunung Lebanon serta Gabenor Selatan (16).
Perdana Menteri sementara Lubnan, Najib Mikati, pula berkata, serangan sengit Israel mungkin menyebabkan krisis perpindahan terburuk dalam sejarah negara tersebut.
Comments