Malaysia bersama kerajaan Jepun akan menyegerakan pelaksanaan pembangunan semula Gaza dan Palestin melalui program kegiatan Asia Timur, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata program tersebut dimulakan dengan pelancaran dana melibatkan Kerjasama Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk pembangunan Palestin (CEAPAD).
"Alhamdulillah atas usaha kerajaan dan Menteri Luar [Datuk Seri Mohamad Hassan], kita telah dapat kepastian supaya dapat disegerakan pelaksanaan program pembangunan semula Gaza dan Palestin atas usaha bersama kerajaan Jepun dan Malaysia...
"[Kedua-dua negara]... yang berhasrat untuk menubuhkan dan melancarkan dana melalui kegiatan Asia Timur, maknanya program Asia Timur untuk Membangunkan Gaza (Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD)," kata beliau melalui hantaran video di Facebook hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, Malaysia pula akan memulakan inisiatif melakukan kerjasama dengan pihak swasta untuk membangunkan sekolah, masjid dan hospital di Gaza.
"Bagi pihak Malaysia, dengan usaha ini, dan usaha yang saya percaya bersama dengan rakyat dan kolaborasi dengan sektor swasta, Insya-Allah kita akan mulakan dengan pembinaan sebuah sekolah, sebuah rumah sakit dan sebuah masjid sebagai suatu usaha kita, pengorbanan masyarakat dan rakyat.
"Mudah-mudahan Allah memelihara kita dan menjamin keselamatan Gaza dan Palestin," katanya.
Perbincangan mengenai program pembangunan semula Gaza dibincangkan bersama Perdana Menteri Jepun Ishiba Shigeru dalam lawatan rasminya ke Malaysia pada 10 Januari lalu.
Dalam sidang media bersama rakan sejawatannya itu, Anwar berkata Malaysia bersetuju menyokong inisiatif Jepun menjadi pengerusi bersama dalam mesyuarat peringkat Menteri dalam persidangan kerjasama negara Asia Timur bagi pembangunan Palestin.
Comments