Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia dan Jepun akan bekerjasama dalam membangunkan tenaga alternatif hidrogen yang bakal dimulakan pada tahun ini.
Perdana Menteri berkata inisiatif melibatkan Petroleum Sarawak (PETROS) dengan sokongan syarikat pengeluar minyak nasional Petroliam Nasional (PETRONAS) itu dijangka dimuktamadkan di Tokyo atau Kuala Lumpur menjelang Mei ini.
"Terdapat inisiatif terkini oleh Sarawak yang melibatkan PETROS dengan kerjasama PETRONAS untuk membangunkan tenaga alternatif, iaitu hidrogen.
"Ini adalah satu bidang baharu dan Premier Sarawak telah memberikan jaminan sokongan, termasuk dari Perdana Menteri Shigeru Ishiba.
"Kerjasama dalam teknologi baharu dan hidrogen ini diharapkan akan berjaya, Insya-Allah. Kami berharap dapat mempermudah proses ini secepat mungkin untuk mencapai tarikh akhir, mungkin pada Mei apabila kita bertemu di Tokyo atau Kuala Lumpur," katanya dalam sidang media bersama Ishida selepas mesyuarat dua hala di Putrajaya hari ini.
Ishida dalam rangka lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia sejak dilantik sebagai perdana menteri pada Oktober lalu. Malaysia merupakan negara pertama yang dikunjungi oleh beliau bagi mesyuarat dua hala.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan Malaysia juga mengucapkan terima kasih kepada Jepun atas hubungan lama dengan PETRONAS Gas Asli Cecair (LNG) yang kini sedang beralih kepada penggunaan teknologi pengambilan karbon melalui dasar tenaga bersih Petronas.
"Ini termasuk penghantaran kargo LNG karbon neutral kepada Shikoku Electric dan Hiroshima Gas," katanya.
Selain itu, beliau menyatakan Malaysia juga mahu Jepun turut serta dalam pembangunan grid tenaga ASEAN melibatkan Laos, Thailand, Malaysia, dan Singapura, serta inisiatif kabel dasar laut dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia dan Singapura.
"Saya juga menyebut mengenai unsur nadir bumi di mana loji pemprosesan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) akan melibatkan penyertaan Jepun," ujarnya.
Mengenai isu serantau, kedua-dua pemimpin bersetuju menyokong inisiatif Jepun untuk mempengerusikan bersama mesyuarat peringkat menteri pada bulan Julai, satu persidangan mengenai kerjasama antara negara-negara Asia Timur untuk pembangunan Palestin.
"Isu ini melibatkan pembinaan semula Gaza dan Palestin, yang sangat bermakna bagi kami di Malaysia dan pastinya bagi banyak negara, termasuk umat Islam di seluruh dunia," katanya.
Tambah beliau, kedua-dua negara turut menyokong inisiatif Sekretariat ASEAN (ASEC) dengan perbincangan akan diadakan bersama anggota pertubuhan serantau itu untuk mereka menganjurkan mesyuarat sekretariat itu di Kuala Lumpur semasa Sidang Kemuncak ASEAN.
"Kami turut membincangkan keperluan untuk mengekalkan keamanan dan menyokong Kod Tatalaku di Laut China Selatan, kerjasama Indo-Pasifik, dan penyelesaian secara baik berdasarkan Konsensus Lima Perkara di Myanmar," katanya.
Dalam bidang pendidikan tinggi, Anwar turut meminta Ishida membantu memastikan Universiti Keio untuk turut serta dalam beberapa program termasuk dialog peradaban kerana terdapat minat untuk mengadakan dialog antara Islam dan Taoisme.
Selain itu, kerjasama juga diadakan melalui penubuhan Kampus Cawangan Universiti Tsukuba serta kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka dengan Universiti Waseda dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Institut Teknologi Antarabangsa Jepun.
留言