Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk meningkatkan hubungan kerjasama dalam semua bidang termasuk pertahanan.
Hal itu disampaikan dalam sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto.
Menurut Anwar, hubungan serumpun Melayu antara Malaysia dan Indonesia amat istimewa serta unik berbanding hubungan dengan negara lain.
"Tentunya kita punya sejarah yang sangat dekat, bahasa, budaya dan juga kedekatannya dari segi persempadanan yang sama.
"Oleh itu, kita harus tingkatkan (hubungan) ke bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan dan kita kembangkan di bidang pendidikan, penyelidikan, teknologi makanan, industri hiliran, tenaga.
"Kedua-dua kita sudah bersetuju untuk memanfaatkan segala kekuatan yang ada, umpamanya termasuk bidang pertahanan di mana Indonesia punyai banyak pengalaman dan kekuatan dan harus ada kesediaan pihak Malaysia untuk melihat apa yang mungkin kita perolehi dari Indonesia. Tentunya lebih utama ketimbang memperolehi atau membeli dari negara-negara lain
"Jadi hal itu hanya akan berlaku sekiranya ada bukan sahaja persefahaman tapi kedekatan, keyakinan dan kepercayaan di kalangan pimpinan dan pasukan pimpinan," katanya dalam sidang media sempena lawatan negara Prabowo ke Malaysia di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur.
Menurut Anwar, pihaknya senang dengan tindakan segera di peringkat kerajaan dan sektor swasta kedua dua negara berhubung sebarang persetujuan bersama yang telah dimeterai.
Katanya, antara contoh utama adalah komitmen kedua dua negara untuk memastikan kerjasama Petronas dan Pertamina, dua gergasi petroleum di rantau Asia Tenggara yang sepakat untuk meneroka aliran baharu teknologi, juga bidang perniagaan baharu.
Selain itu, Anwar bagi pihaknya dan keluarga mengucapkan penghargaan secara peribadi terhadap Prabowo yang juga merupakan teman dekat beliau pada waktu waktu sukar sebelum ini.
"Saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada sahabat dan saudara saya, saudara Prabowo Subianto yang dekat dalam masa senang susah, hanya di antara sahabat setia saya yang sentiasa memerhatikan dan mengambil berat dalam masa duka lara saya yang panjang.
"Tidak ramai yang kita boleh catat kehebatan, keikhlasan mereka dan saya senaraikan Prabowo Subianto di antara yang terkecuali kerana kedekatannya dan kesungguhannya sehinggakan menimbulkan juga ketidaksenangan dengan kemarahan daripada pihak tertentu pada ketika itu," katanya.
Anwar mengungkapkan persahabatan itu dengan memetik bait puisi pujangga terkenal Indonesia, Khairul Anwar, “kepada binatang jalang dari kumpulan yang terbuang, tetapi masih ada sahabat yang setia.”
Terdahulu pada pagi tadi, Presiden Prabowo yang mengadakan Lawatan Negara pertamanya ke negara Asia Tenggara, diraikan dengan istiadat Sambutan Negara dan pemeriksaan pasukan Kawalan Kehormatan daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja di Istana Negara.
PM mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menerima Kunjungan Menghadap Presiden Prabowo. Baginda mengurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (D.K.1) kepada Prabowo.
Sultan Ibrahim kemudian meraikan delegasi kedua-dua negara dalam Majlis Santapan Negara.
Comentarios