Malaysia, Indonesia perlu tingkat kerjasama hadapi masalah global
- Suara Keadilan
- 5 hours ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Malaysia dan Indonesia perlu meningkatkan kerjasama dalam rangka perhubungan serantau dalam ASEAN terutama pertanian sebagai persediaan berdepan dengan masalah di peringkat global pada masa akan datang.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerjasama itu penting terutama apabila negara anggota pertubuhan serantau itu berdepan dengan isu tarif yang tidak menentu.
"Kita dalam ASEAN perlu dipergiatkan lagi persaudaraan dalam segala bidang kerana kita mungkin akan menghadapi masalah-masalah seperti yang berlaku sekarang soal tarif baharu yang tidak menentu dibuat oleh negara besar seperti Amerika dan lain-lain
"Oleh itu kita di peringkat ASEAN mesti ada kerjasama lebih kukuh," katanya pada sidang media selepas pertemuan bersama Menteri Pertanian Indonesia Andi Amran Sulaiman di Jakarta hari ini yang disiar dalam hantaran melalui Facebook.
Mohamad dalam rangka menyertai lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Indonesia dengan melakukan kunjungan hormat ke atas Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka di Jakarta semalam.
Pertemuan ini memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam kerjasama ekonomi, pendidikan dan keterjaminan makanan.
Kedua-dua negara senada untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor pertanian dan keselamatan makanan, kebajikan nelayan termasuk perdagangan agromakanan dan kolaborasi teknikal pertanian.
Mohamad menyatakan rasa kagumnya terhadap pencapaian teknologi pertanian di Indonesia yang berjaya melipat ganda menghasilkan pengeluaran padi.
"Hingga mampu untuk mencukupkan keperluan makanan utama rakyat iaitu beras dan sampai ke peringkat mampu eksport," katanya.
Dalam hal ini, kata Mohamad Malaysia berharap dapat berlaku pertukaran teknologi dan bimbingan bersama supaya dapat dimanfaatkan kedua-dua negara jiran yang akrab itu.
"Perbincangan berlaku dengan baik tanpa protokol (ketat) sebab kita bersaudara dan kita lihat beberapa kelebihan di sini yang boleh kita pelajari dan begitu juga sebaliknya, pihak kami MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pertanian Indonesia supaya kita dapat bertukar-tukar terutama manfaat bersama teknologi dan pemodenan," ujarnya.
Comments