Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan sokongan beliau terhadap cadangan rakan sejawatannya, Narendra Modi agar lebih banyak perdagangan Malaysia dan India menggunakan mata wang tempatan negara masing-masing.
Perdana Menteri (PM) berkata, Bank Negara Malaysia telah bersetuju untuk meningkatkan lagi penggunaan rupee India dan ringgit bagi pertumbuhan perdagangan dua hala seperti dilaksanakan dalam dagangan Malaysia - China, Thailand dan Indonesia.
"Saya memberi maklum balas yang amat positif terhadap cadangan Perdana Menteri (Narendra) Modi berkaitan keperluan untuk menggunakan mata wang tempatan," kata beliau dipetik pada sesi soal jawab syarahan bertajuk “Menuju Kebangkitan Selatan Global: Memanfaatkan Hubungan Malaysia-India” di Sapru House, Indian Council of World Affairs (ICWA) di New Delhi semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan juga mencadangkan agar lebih banyak negara menggunakan mata wang negara masing-masing dalam perdagangan berbanding bergantung kepada sistem kewangan lama yang didorong dari Amerika Syarikat.
Terdahulu dalam sidang media bersama Anwar, Modi berkata India-Malaysia sedang mencatat kemajuan dan transaksi kini dapat diselesaikan menggunakan rupee dan ringgit.
Dalam kenyataan bersama India-Malaysia, kedua-dua pemimpin itu dalam perbincangan mereka turut "menghargai kerjasama antara Reserve Bank of India dan Bank Negara Malaysia untuk menggalakkan penggunaan penyelesaian mata wang tempatan dalam perdagangan dan pelaburan dua hala.
Sementara itu dalam syarahan tersebut, Anwar berkata, kebangkitan naratif Selatan Global dan keinginan yang semakin meningkat untuk penglibatan yang lebih besar dalam sistem antarabangsa telah membawa kuasa serantau ke barisan hadapan.
"Kuasa-kuasa yang sedang muncul ini kini mempunyai peluang untuk menggunakan pengaruh dan membentuk wacana mengenai agenda Selatan Global yang sepatutnya.
"Selatan Global mewakili satu suara yang tidak lagi boleh diabaikan dalam kemunculan aturan antarabangsa. Kemunculan Selatan Global yang diperkasa pada pandangan saya, adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan," katanya.
*Kredit foto: SADIQ ASYRAF/PMO
תגובות