Malaysia hantar pegawai ke Washington, runding isu tarif - PM
- Suara Keadilan
- Apr 8
- 2 min read

Malaysia akan menghantar pegawai-pegawainya ke Washington bagi memulakan proses dialog berhubung langkah tarif timbal balas yang dikenakan Amerika Syarikat (AS), demikian menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata langkah itu merupakan pendekatan lunak secara senyap yang diamalkan negara ini berbanding mengamalkan diplomasi secara terbuka.
"Kita tidak percaya kepada "megaphone diplomacy" [diplomasi terbuka]. Sebagai sebahagian daripada dasar diplomasi lunak dan keterlibatan secara senyap, kita akan menghantar pegawai-pegawai kita ke Washington bagi memulakan proses dialog.
"Walaupun ruang untuk mengubah niat dasar ini mungkin terhad, masih ada peluang untuk menyesuaikan pelaksanaannya," katanya ketika berucap pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 di Kuala Lumpur hari ini.
Persidangan itu diadakan sempena Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN ke-12 yang bermula 7 hingga 10 April ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sistem perdagangan global mengalami tekanan yang hebat dengan minggu lalu AS mengumumkan satu lagi langkah ke arah nasionalisme ekonomi – tarif menyeluruh ke atas semua import, yang kini dikenali sebagai “tarif Trump terhadap seluruh dunia.”
Katanya jumlah perdagangan barangan dunia kini bernilai sekitar AS3.5 trilion namun angka ini tidak harus dianggap terjamin.
Katanya perkara itu kerana gelombang tarif yang kini melanda merata dunia secara agresif dan tidak menentu mengakibatkan keretakan terhadap sistem perdagangan global.
"Tarif Trump [Presiden Donald Trump] bukanlah cabaran pertama terhadap multilateralisme, dan pastinya bukan yang terakhir.
"Namun, sekiranya ASEAN mampu kekal tenang — berpegang kepada keterbukaan, pragmatisme dan perpaduan — maka kita mungkin akan menjadi antara pihak terakhir yang masih percaya bahawa dunia ini berfungsi dengan lebih baik apabila ia bekerjasama," ujarnya.
Perdana Menteri berkata perdagangan Malaysia yang juga Pengerusi ASEAN dengan AS sejak sekian lama menjadi contoh hubungan yang saling menguntungkan.
"Eksport kita bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi di sini, malah menyediakan pekerjaan berkualiti tinggi di Amerika Syarikat.
"Hubungan perdagangan ini telah memberi manfaat kepada kedua-dua negara, namun langkah-langkah baru ini berkemungkinan akan merugikan semua pihak," katanya.
Dalam hal ini, Anwar berkata Malaysia akan terus menyesuaikan diri namun tidak akan membiarkannya hanyut dibawa arus.
"Angin mungkin berubah arah, namun kita tidak akan hanyut dibawa arus. Strategi kepelbagaian perdagangan negara kini sedang bergerak dengan lebih pantas dan tersusun," jelas beliau.
Perdana Menteri menegaskan Malaysia berhasrat untuk terus menjadi rakan dagang yang teguh bersama AS namun akan bertindak sewajarnya demi melindungi kepentingan ekonomi negara.
"Ini termasuk mengambil pendekatan yang proaktif dalam berunding dengan pihak AS bagi mencapai hasil yang saling menguntungkan dan dalam masa sama mempelbagai dan memperkukuh hubungan perdagangan dengan semua pasaran utama di Eropah, Asia, Timur Tengah dan Afrika," ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar menyarankan ASEAN agar perlu memperkukuh kebergantungan kepada kekuatan dalaman sendiri.
"Ini menuntut kita untuk memperhebat perdagangan intra-ASEAN," saran beliau lagi.
"Kita [ASEAN] secara umumnya masih komited terhadap keterbukaan, kerjasama dan kesinambungan institusi," katanya.
Comentários