top of page

Malaysia gesa negara Islam capai konsensus usir Israel dari PBB

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Nov 12, 2024
  • 2 min read


Datuk Seri Anwar Ibrahim membawakan suara Malaysia yang tegas dengan menggesa negara-negara Islam agar mencapai konsensus bagi mendesak agar Israel diusir daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai satu hukuman kerana melakukan pelanggaran terhadap undang-undang antarabanga terkait isu Palestin.


Perdana Menteri ketika menyampaikan kenyataan negara menyifatkan Israel "tidak lagi tergolong dalam masyarakat negara yang beradab" dan kekejamannya memerlukan tindakan tegas untuk melindungi bukan sahaja keamanan di Timur Tengah malah dunia secara keseluruhan.


"Masyarakat antarabangsa mesti bertindak pantas dan tegas. Sebagai langkah segera, kita mesti mendesak, seperti yang dilakukan oleh Malaysia di Perhimpunan Agung PBB pada bulan September, untuk mengenakan sekatan senjata segera terhadap Israel.


"Bagaimanapun, tahap serangan Israel terhadap peraturan asas kemanusiaan dan norma antarabangsa memerlukan tindak balas yang lebih serius. Bukan sahaja demi rakyat Palestin malah demi kemanusiaan, kita mesti menghukum dan mencegah pelanggaran berulang Israel terhadap undang-undang dan norma antarabangsa.


"Oleh itu, kita harus membina konsensus ke arah penggantungan atau bahkan pengusiran Israel daripada PBB," katanya dipetik ketika berucap pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi semalam.


Suara rakyat Malaysia disampaikan secara tegas oleh PM di Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam

Perdana Menteri berkata PBB pernah mengambil tindakan yang tidak pernah dilakukan ke atas Afrika Selatan kira-kira 50 tahun lalu apabila negara itu dinafikan tempat di Perhimpunan Agung PBB kerana kekejaman dasar apartheid yang diamalkannya.


Untuk rekod, Afrika Selatan pernah dikenakan tindakan tegas oleh PBB akibat dasar apartheid yang dilaksanakan rejim kulit putih sebelum ini.


Walaupun tidak secara rasmi "dikeluarkan" dari PBB, keanggotaannya digantung dalam beberapa aspek dan ia dikenakan pelbagai sekatan antarabangsa sebagai tekanan untuk menghentikan apartheid.


Dasar apartheid dihapuskan secara rasmi pada awal 1990-an di Afrika Selatan. Apartheid merupakan sebuah sistem pemisahan kaum yang menindas majoriti kulit hitam oleh pemerintah minoriti kulit putih, bermula pada 1948.


"Israel, bagaimanapun, telah melampaui batas, melampaui akal dan melampaui kemanusiaan dalam melakukan penganiayaan yang keji dan terang-terangan terhadap genosid ke atas rakyat Palestin.


"Kumpulan tindakan ganas ini terhadap keseluruhan bangsa menyebabkan kita tidak mempunyai pilihan melainkan menuntut tindakan pantas dan berkesan daripada masyarakat antarabangsa termasuk sekatan, penggantungan, dan bahkan pengusiran," kata Anwar.


Perdana Menteri melahirkan rasa bimbang terhadap kempen tanpa henti Israel apabila kini ia telah menyerang nadi utama masyarakat antarabangsa untuk Palestin dengan menyasarkan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).


Dengan menghalang UNRWA daripada beroperasi, Israel menyebabkan terhentinya bantuan kemanusiaan dunia, memutuskan sumber kehidupan paling asas di Gaza bagi mereka yang telah mengalami begitu banyak kehilangan, katanya.


"Kita mesti menghentikan pertumpahan darah yang berterusan ini dan mengambil langkah segera untuk memberikan perlindungan yang lebih berkesan kepada UNRWA.


"Kita perlu memberikan perlindungan yang lebih baik kepada pasukan pengaman PBB di Lubnan, yang terdiri daripada hampir 50 negara, termasuk Malaysia yang telah diserang dan diganggu oleh tentera Israel," katanya.


Jelasnya kekejaman telah merebak ke Lubnan, Yaman, Syria, Iraq dan Iran.


"Jika dunia berpaling sekarang, keganasan ini tidak akan kekal terkawal; ia akan mencetuskan api yang mengancam untuk menelan seluruh rantau ini, dan seluruh dunia," katanya.


Terdahulu Anwar menyambut baik banyak cadangan yang bernas yang dikemukakan oleh pemimpin-pemimpin negara Islam lain dengan menyifatkan ia sebagai mencerminkan suara kesatuan umat Islam yang lahir daripada kebangkitan keyakinan bersama dalam kalangan umat Islam.


Beliau memuji usaha yang dilaksanakan termasuk melalui sidang kemuncak seperti itu bagi mencari jalan dan cara bagi menamatkan keganasan, kemusnahan dan penderitaan yang menimpa rakyat Palestin, serta meringankan penderitaan mereka yang panjang.

Comentarios


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page