Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim di sela sela kepadatan jadual hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan semalam, sempat bertemu Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Anthony Blinken yang mengadakan lawatan kerja ke Laos.
Dalam pertemuan sekitar 40 minit bersama Blinken itu, Anwar bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menyentuh kepentingan Malaysia dan AS.
"Malaysia menyatakan penghargaan atas peranan penting AS membabitkan Resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) 2735 terkait usul gencatan senjata dalam konflik Palestin-Israel.
"Pada masa sama, saya turut menggesa AS menggunakan pengaruhnya untuk memastikan resolusi ini segera dilaksanakan dan dipatuhi oleh Israel," kata Anwar.
Beliau juga menyentuh kepentingan AS sebagai rakan dagangan utama Malaysia dengan pelaburan-pelaburan syarikat negara itu yang menjadi penyumbang utama menjadikan Malaysia muncul sebagai pusat pelaburan bagi sektor teknologi tinggi di rantau Asia Tenggara.
Hal itu, katanya, termasuklah beberapa pelaburan terkini berjumlah AS$14.7 bilion daripada gergasi teknologi AS seperti Google, Microsoft, Enovix Corporation, Amazon Web Services, Abbott Laboratories dan Boeing.
Sebelum itu, PM Anwar bertemu dengan rakan sejawatnya Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau.
Menurut Anwar, pertemuan itu membincangkan topik utama terkait usaha mengukuhkan hubungan Malaysia-Kanada. Beliau menggunakan ruang itu untuk mempertingkatkan kerjasama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang.
Antaranya termasuklah meneroka ruang memperluaskan kerjasama terkait keselamatan siber, sekali gus menjadi lanjutan daripada penubuhan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber (CCoE) BlackBerry di Cyberjaya, yang telah dirasmikan pada Mac lalu.
"Kami turut membincangkan mengenai peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan serta beberapa isu serantau dan antarabangsa, selain menyentuh mengenai urusan visa dengan Kanada," katanya lagi.
*Kredit foto: Amir Haziq/PMO
Comments