Ekonomi Malaysia berkembang pada kadar lebih tinggi sebanyak 4.2% pada suku pertama tahun ini berbanding 2.9% pada suku keempat 2023 didorong oleh perbelanjaan swasta lebih kukuh dan pertumbuhan eksport yang positif, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.6 peratus pada suku pertama 2023.
Bank pusat itu dalam kenyataan hari ini berkata, pertumbuhan ekonomi negara ini disokong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan permintaan luaran yang bertambah baik.
"Aktiviti pelaburan lebih giat disokong oleh perbelanjaan modal sektor swasta dan sektor awam yang lebih tinggi. Eksport kembali pulih berikutan permintaan luaran yang lebih tinggi," kata bank itu.
Katanya, perbelanjaan isi rumah lebih tinggi berikutan pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan.
Dari segi penawaran jelasya kebanyakan sektor mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi antaranya industri perkilangan telah meningkat disebabkan oleh pemulihan dalam industri elektrik dan eletronik (E&E) serta industri bukan E&E.
"Pertumbuhan yang lebih kukuh bagi sektor perkhidmatan didorong oleh aktiviti perdagangan runcit yang lebih tinggi dan sokongan yang berterusan daripada subsektor pengangkutan dan penyimpanan," katanya.
Bank Negara berkata inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal sederhana, masing-masing antara 2% hingga 3.5% dan antara 2% hingga 3% pada tahun ini.
"Hal ini secara amnya mencerminkan permintaan yang semakin stabil dan tekanan kos yang terkawal, bersama-sama dengan kemungkinan inflasi meningkat yang berpunca daripada pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api.
"Prospek sepanjang tahun 2024 bergantung pada pelaksanaan dasar dalam negeri berhubung dengan subsidi dan kawalan harga, serta perkembangan harga komoditi global dan pasaran kewangan," ujarnya.
Dalam pada itu kata Bank Negara, inflasi keseluruhan kekal sederhana pada 1.7% pada suku pertama tahun ini, naik sedikit berbanding 1.6% pada suku keempat 2023.
"Peningkatan sederhana dalam inflasi keseluruhan ini mencerminkan pelarasan dasar tarif air pada Februari dan cukai perkhidmatan bagi penggunaan elektrik yang tinggi pada Mac, masing-masing meningkat sebanyak 20.8% dan 0.7%.
Inflasi teras berkurang kepada 1.8% berbanding 2% pada hujung tahun lalu, sebahagian besarnya didorong oleh inflasi segmen makanan dan minuman yang terus mereda.
Rebakan inflasi meningkat sedikit, apabila bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan meningkat kepada 44.2% pada suku tersebut (S4 2023: 36.3%).
Bagaimanapun, bahagian ini kekal di bawah purata jangka panjang suku pertama (tempoh suku pertama tahun 2011-2019) iaitu sebanyak 52.2%.
Comments