![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_e4926d6f94274fb6a8eb35d3e5e15b6d~mv2.jpg/v1/fill/w_700,h_466,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_e4926d6f94274fb6a8eb35d3e5e15b6d~mv2.jpg)
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan pendirian Malaysia dalam isu Palestin.
Bercakap pada sidang media bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Selasa Anwar berkata, Malaysia akan terus menjadi penyokong lantang hak rakyat Palestin dan bakal meneruskan bekerjasama dengan Turkiye serta rakan antarabangsa lain bagi menangani krisis itu.
"Terdapat dua perkara utama di sini. Pertama, bantuan kemanusiaan segera. Namun, kita juga perlu berusaha ke arah penyelesaian jangka panjang yang adil.
"Kami akan terus berusaha, tetapi kami bukan sekadar mengikut arus," katanya dipetik.
Mengulas situasi di wilayah tersebut berikutan cadangan mengusir keluar penduduk Gaza oleh negara kuasa besar, Anwar menegaskan cadangan itu adalah perampasan sistematik terhadap rakyat Palestin
Sebarang rundingan yang diusahakan tegasnya tidak akan membawa hasil selagi Israel mengekalkan penjajahannya ke atas wilayah Palestin.
"Dan ini membawa kita kembali kepada isu utama Gaza dan Palestin. Anda dapat melihat tindakan berkecuali dan pelbagai persoalan yang timbul.
"Maksud saya, berapa banyak rundingan yang boleh dilakukan apabila penjajah belum berundur?
"Bagi saya, ini adalah satu projek kolonisasi," katanya sambil mengkritik keengganan masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas dalam isu berpanjangan itu.
Comments