Malaysia berada di kedudukan strategik untuk memanfaatkan ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan berpotensi sebagai hab pusat data utama di rantau ini.
Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh berkata melalui Kementerian Digital, peranan MDEC dilihat penting bagi merealisasikan hasrat itu.
Justeru, katanya kerjasama atau kolaborasi antara pemegang taruh dan pemain industri untuk memperkasakan potensi AI negara amat digalakkan.
"AI memainkan peranan yang sangat penting untuk mencipta inovasi dalam ekonomi digital terutama perincian maklumat, termasuk pilihan pengguna dan pembangunan kualiti produk merentas industri.
"Sebab itu dalam kerangka Pelan Strategi Nasional, kita mencari pemain industri, inovator dan pemegang taruh untuk berkongsi pandangan dan bekerjasama bagi meneroka peluang dalam AI," katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Kemuncak Penggunaan Teknologi Digital Malaysia: Kecerdasan Buatan (IT), di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur, hari ini.
Jelasnya, Malaysia ketika ini berada di landasan tepat memandangkan syarikat-syarikat kecerdasan buatan terkemuka mula beroperasi di negara ini.
Ia termasuk, katanya, syarikat inovatif yang mampu membuat laman sesawang berbilang bahasa yang hanya memerlukan beberapa minit untuk melakukannya berbanding proses tradisional yang mengambil lebih 10 hari bekerja.
"Oleh itu, potensi AI perlu dimanfaatkan sepenuhnya termasuk di Sabah dan Sarawak bagi meningkatkan kemahiran dan kualiti kehidupan yang lebih baik.
"Marilah kita menggunakan AI sebagai peluang ekonomi negara dan menjadikan Malaysia sebagai pusat kuasa global AI," ujarnya lagi.
Kommentare