
Lawatan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Bahrain meneroka kerjasama lebih meluas antara dua negara.
Hal itu dibincangkan dalam pertemuan beliau dan Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Bin Hamad Al Khalifa di Istana Gudaibiya, Manama.
"Dalam pertemuan ini, kami dapat menilai tahap kemajuan hubungan dua hala antara Malaysia dan Bahrain selain berpeluang meneroka bentuk kerjasama baharu.
"Kerjasama ini meliputi beberapa bidang tumpuan antaranya pelaburan dan perdagangan, kewangan dan perbankan Islam, semikonduktor serta kesalinghubungan meliputi sektor pelancongan.
"Kami juga menyentuh isu serantau terutamanya melibatkan situasi di Timur Tengah khususnya Palestin yang memerlukan kerjasama serta tekad yang menyeluruh untuk memastikan saudara Islam di sana dalam keadaan baik selain mendapat pembelaan sewajarnya," kata beliau dalam muat naik di Facebook.
Kata PM, kesempatan sama turut digunakan untuk mengundang Putera Salman ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC+China.
Beliau berharap hubungan Malaysia dan Bahrain terus diperkukuhkan sekali gus dapat menarik lebih banyak pelaburan demi kemajuan dan potensi ekonomi negara.
Comments