Malaysia mengalu-alukan pengumuman perjanjian gencatan senjata di Gaza yang dijadualkan berkuat kuasa pada Ahad ini sambil menggesa masyarakat antarabangsa memastikan ianya dipatuhi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah kritikal ini memberikan kelegaan yang sangat diperlukan kepada rakyat Gaza setelah menanggung penderitaan amat besar.
"Masyarakat antarabangsa mesti memastikan bahawa perjanjian ini dipatuhi, membuka jalan kepada rundingan fasa-fasa seterusnya yang akan membawa kepada ketenangan yang berterusan dan pembinaan semula Gaza," katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar berkata pihaknya memuji peranan yang dimainkan Presiden Amerika Syarikat yang bakal dilantik, Donald Trump dalam merealisasikan rundingan tersebut.
"Saya menghargai usaha Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat dalam menjadi perantara perjanjian ini," ujarnya.
Bagi mengembleng usaha di peringkat antarabangsa pembangunan semula Palestin, beliau berkata pihaknya akan menghubungi Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba bagi mempercepat pelaksanaan pelan pembinaan yang telah dipersetujui semasa lawatan beliau ke Malaysia baru-baru ini.
"Kerjasama dan sokongan daripada rakan-rakan Asia Timur, kita akan menjadi pemangkin penting untuk memastikan pembinaan semula Gaza berjalan lancar dan berkesan," kata beliau.
Anwar menekankan tentang kepentingan untuk memperakui bahawa kehilangan lebih 46,700 nyawa rakyat Palestin dan penempatan semula lebih dua juta orang tidak seharusnya dilupakan.
Jelasnya, keamanan yang adil dan berkekalan bergantung kepada usaha menyelesaikan punca utama konflik berkenaan.
"Keadilan dan kebertanggungjawaban atas tindakan sepanjang konflik ini kekal kritikal.
"Gencatan senjata ini mesti menjadi batu loncatan ke arah matlamat yang telah lama tertangguh iaitu mewujudkan sebuah negara Palestin yang berdaya maju, berdaulat dan merdeka," ujarnya.
コメント