Malaysia dan universiti Al Azhar perlu meningkatkan kerjasama dalam penyebaran ilmu.
Hal itu dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kunjungan beliau menemui Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb di Kaherah.
"Kami membincangkan pelbagai perkara khususnya melibatkan soal pendidikan yang mana saya zahirkan penghargaan atas usaha dan peranan Al-Azhar Al-Sharif dalam membantu para pelajar Malaysia.
"Saya nyatakan bahawa Malaysia dan Al-Azhar Al-Sharif perlu terus pertingkat kerjasama di Rantau ASEAN terutama dalam bidang teknologi dan penyebaran ilmu," katanya dalam catatan di Facebook.
Dalam pada itu, pihak Al Azhar memaklumkan bahawa mereka bersetuju menawarkan biasiswa buat pelajar Malaysia yang cemerlang dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan teknologi.
Selain itu, pertemuan PM dan ahli akademik Al Azhar itu juga menyentuh memorandum persefahaman (MoU) terkait kerjasama program Sains Islam (Ulum Islamiah) antara Kementerian Pendidikan Tinggi dan Al-Azhar Al-Sharif, juga koloborasi antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Institut Bahasa Arab Al-Azhar Al-Sharif.
Comments