Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi menyatakan ikrar untuk melakukan segala usaha yang terdaya bagi membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin.
Pada pidato di kemuncak Himpunan Pembebasan Palestin yang berlangsung di Stadium Axiata, Bukit Jalil itu beliau berkata, selain terus menyokong perjuangan pembebasan Palestin, Malaysia akan menyediakan tempat rawatan kesihatan sewajarnya untuk rakyat Palestin khusus wanita dan kanak-kanak.
Bagi merealisasi usaha itu, Anwar menjelaskan, perbincangan dengan beberapa pemimpin negara Arab untuk memudahcara proses tersebut telah diadakan khususnya dengan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi dan Presiden Turki, Reccep Tayyip Erdogan.
"Insya-Allah kita akan lakukan sedaya upaya kita, akan suarakan pandangan kita tak kira depan siapa. Kita akan bantu, yang sakit sama ada dirawat di sana atau dibawa ke mari, kita akan teruskan tanpa tolak ansur. Kerajaan akan peruntukan dana.
"Selain itu saya berharap anda (rakyat Malaysia) juga jangan berhenti berbicara setiap hari mengenai Palestin.
"Jangan berhenti bantu dan sedekah untuk meringankan (penderitaan) rakan kita di Palestin. Saya mahu Malaysia terletak dalam peta sejarah sebagai negara yang lebih konsisten dan sungguh-sungguh dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
"Kita akan teruskan usaha ini. Saya mohon maaf tak mampu bicara panjang. Insya-Allah dengan mandat yang diberikan rakyat Malaysia, saya akan lakukan sedaya-upaya yang mampu untuk membantu dan membela nasib mereka," katanya dipetik.
Himpunan Pembebasan Palestin yang berlangsung malam tadi dihadiri kira-kira 12,000 orang yang kebanyakkannya berpakaian serba putih dan mengenakan mafela sambil membawa bendera Palestin dan plakad sebagai tanda solidariti mereka.
Selain menzahirkan sokongan kepada Palestin, ia juga diadakan bagi menyampaikan mesej bahawa Malaysia mengutuk keras pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.
Turut hadir malam tadi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; barisan menteri Kabinet; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan perwakilan antaranya dari Kedutaan Palestin, Maghribi, Tajikistan, Turkiye, Lubnan, Republik China, dan Guinea.
Kredit Foto : Jabatan Penerangan Malaysia
Opmerkingen