top of page

Makanan segera, kerajaan segera dan penyelesaian popular menuju PRU 15



Oleh: Hassan Abdul Karim


ULASAN: Fenomena segera popular di Malaysia. Dari ayam goreng, burger dan mee semuanya dalam beberapa minit boleh disiapkan dan dibeli secara pandu lalu sahaja.


Begitu juga dalam empat tahun, kita menyaksikan turun naik tiga buah kerajaan dan tiga orang Perdana Menteri, tidak melalui pilihan raya umum, kecuali yang pertama. Jadi rakyat Malaysia sepanjang pandemik Covid-19 dan selepas pandemik dihidangkan dengan kerajaan dan Perdana Menteri segera.


Seperti makanan segera yang banyak lemak dan kolestrol tidak bagus untuk kesihatan, maka begitu juga halnya dengan kerajaan segera dan Perdana Menteri segera.


Kerajaan segera yang ada sekarang misalnya samalah seperti banduan yang sedang menunggu ke (bilik hukuman) tali gantung. Banduan di peringkat terminal menunggu hukuman mati itu mungkin masih mengharapkan berita yang baik daripada Lembaga Pengampunan Yang di-Pertuan Agong atau Sultan-Sultan pemerintah negeri.


Manakala Perdana Menteri kerajaan segera sekarang ini sedang berteka-teki bila hendak membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum ke-15. Apabila Parlimen dibubarkan maka berakhirlah mandat kerajaan yang ada. Kuasa dikembalikan kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baru.


Tidak memikirkan kebaikan rakyat


Dengan hal yang demikian, seperti pengeluar makanan segera tidak memikirkan kebaikan dari segi kesihatan pengguna pada jangka masa panjang. Yang penting bagi pengeluar makanan segera itu ialah produknya itu popular, laku, laris dan dia gembira dengan kocek penuh duit untuk ke bank. Kepentingan jangka pendek yang diutamakan.


Maka begitulah Perdana Menteri segera bagi kerajaan segera sekarang. Perdana Menteri dan menteri-menteri dalam kabinetnya tidak berminat untuk merangka program jangka panjang untuk mengatasi masalah-masalah pokok, cabang dan dahan yang besar-besar. Mereka hanya minat untuk menyelesaian isu-isu ranting dan daun sahaja.


Apa contohnya?


Pertama, apabila rakyat tak ada duit, dan para pekerja yang berjuta orang itu yang terdesak untuk menanggung kelangsungan hidup lalu mereka menuntut supaya wang simpanan pencen mereka di dalam tabung simpanan KWSP dibenarkan keluar bagi kali keempat dalam program i-citra sebanyak RM10 ribu, maka kerajaan segera dan Perdana Menteri segera terpaksa tunduk dengan tuntutan popular itu. Jika melawan tuntutan para pekerja maka risikonya ialah mungkin kalah dalam pilihan raya. Kesan jangka panjang terhadap empat pengeluaan wang simpanan KWSP yang akan merugikan kepentingan para pekerja pada masa tua tidak dipeduli. Yang penting keputusan popular dan menang pilihan raya.


Contoh kedua, apabila bekalan makanan seperti ayam terputus dan harga di pasaran semakin tinggi, maka kerajaan membuat keputusan segera. Pemansuhan permit import (AP) diumumkan segera dan berkuatkuasa segera. Ayam dan beberapa jenis makanan boleh diimport tanpa lagi terikat kepada AP. Keputusan ini segera. Ini keputusan yang popular yang disukai rakyat. Keputusan ini dapat dilihat hasilnya dalam jangka pendek. Perdana Menteri dan kerajaan segeranya dilihat prihatin masalah rakyat dan ini boleh membantu prestasi mereka dalam pilihan raya yang akan tiba tidak lama lagi.


Tetapi dalam jangka panjang, apakah dasar mereka untuk mengatasi import barangan makanan Malaysia setahun sebanyak RM45 bilion? Jawapannya tidak ada. Tidak ada program. Tidak ada dasar. Tidak ada penyelesaian jangka panjang. Mereka tidak mahu susah-susah fikirkan jaminan keselamatan makanan untuk rakyat Malaysia bagi tahun-tahun akan datang, sebab mereka tak pasti apakah mereka akan kembali jadi menteri ataupun Perdana Menteri.


Justeru itu yang dihidangkan kepada rakyat adalah program dan dasar-dasar segera yang popular.


Naik gaji tingkatkan populariti


Contoh ketiga, Perdana Menteri mengumumkan mulai 1 Mei 2022 gaji minimum pekerja dinaikkan menjadi RM1,500 sebulan. Keputusan PM amat positif dan progresif bagi kaum pekerja dan rakyat Malaysia. Selama empat tahun ini sebagai contoh Perdana Menteri-Perdana Menteri sebelum ini teragak-agak untuk naikkan gaji minimum pekerja. Tetapi Perdana Menteri Ismail Sabri kelihatan lebih berani.


Keputusan ini satu keputusan populis yang mendapat sokongan kaum pekerja yang berjumlah sekarang seramai 15.57 orang menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.


Majikan-majikan menjerit membantah, tetapi Perdana Menteri buat tidak dengar sahaja. Perdana Menteri segera sekarang ini pandai mencongak politik. Yang akan mengundi dalam PRU 15 nanti banyak daripada kaum pekerja, lebih 15 juta orang. Jika didarab dengan anak isteri, suami dan keluarga mereka, maka jumlah pengundi ini amat besar, jauh lebih ramai jika berbandingkan tauke-tauke majikan yang cuba menekan gaji minima pekerja supaya tidak naik-naik.


Langkah popular di kalangan kaum pekerja itu menjamin pulangan undi kepada Kerajaan secara segera. Lalu, parti-parti pembangkang ada kewajipan berjaga-jaga. Perdana Menteri segera sekarang ini amat pandai menjarakkan dirinya daripada politikus-politikus kluster mahkamah, kecuali dalam beberapa insiden jamuan iftar berbuka puasa dan jamuan Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara yang amat menjolok mata.


Isu penyelewengan terus didiamkan


Contoh terakhir, Kerajaan segera dan Perdana Menteri segera buat tak kisah tentang nilai ringgit Malaysia yang jatuh menjunam berbanding dengan dolar Amerika.


Begitu juga Kerajaan segera dan Perdana Menteri segera ini terus tak ambil peduli dengan wabak rasuah yang berleluasa di dalam negeri yang perbicaraan rasuah mega seperti 1MDB yang meletup di Mahkamah Persekutuan Brooklyn di New York, Amerika Syarikat.


Begitu juga dengan pendedahan demi pendedahan sisi hitam ekonomi atau ekonomi bayangan dalam Pandora Papers dan lain-lain, macam tidak kelihatan di kaca mata Perdana Menteri segera dan kerajaan segera sekarang.


Seperti makanan segera untuk tujuan dimakan dan kenyang sementara, maka begitulah Kerajaan segera dan Perdana Menteri segera ini cuba mengambil langkah-langkah sementara terhadap simptom-simptom yang ada, tetapi bukannya untuk mengatasi punca penyakit negara yang sebenarnya.


________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang

0 comments

Recent Posts

See All

コメント


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page