Majlis Santapan Diraja sempena Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 telah berjalan dengan sempurna malam tadi.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang bertindak sebagai Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong ke-17 berkata demikian dalam catatan di Facebook rasminya.
"Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, Majlis Santapan Diraja telah berlangsung dengan sempurna.
"Kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sentiasa berada dalam lindungan Yang Maha Esa," ujarnya.
Menurut Fahmi, selain Raja-Raja Melayu dan wakil-wakil baginda, Paduka Seri Baginda Sultan Brunei serta Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dan Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa turut berangkat ke majlis santapan malam tadi.
Hadir sama, katanya, Menteri Kanan Singapura yang juga bekas Perdana Menteri negara itu, Lee Hsien Loong dan isteri, Ho Ching.
Di samping itu pengisian istimewa pada majlis malam tadi berupa tayangan video 'Riwayat Hidup Sultan Ibrahim' yang memaparkan peristiwa penting dalam kehidupan Seri Paduka Baginda.
Comments