Oleh: Abdullah Zaid
Pihak berkuasa tempatan di Selangor giat melakukan operasi membanteras peniaga asing yang berniaga menggunakan lesen perniagaan warganegara Malaysia.
Semalam Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menyerbu tiga premis warga asing yang berlindung di sebalik lesen peniaga tempatan setelah pihak berkuasa itu mengesan aktiviti berkenaan hasil risikan beberapa hari.
"Pemeriksaan pihak MPS mendapati premis terbabit dikendali oleh warga Bangladesh, Thailand dan Myanmar yang merupakan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
"Premis-premis ini menyasarkan pelanggan dalam kalangan warga mereka sendiri dengan hanya menjual makanan dan barangan runcit dari negara asal mereka," kata MPS dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu lagi, premis-premis tersebut diubahsuai dan dijadikan pusat hiburan karaoke khas serta tempat aktiviti perniagaan kedai makan tanpa kelulusan.
Dalam pada itu, MPS turut merampas pelbagai barangan termasuk minuman keras, peralatan karaoke dan audio visual, kamera litar tertutup (CCTV) serta produk makanan bukan berasal dari Malaysia.
"Atas pelbagai kesalahan, MPS telah mengeluarkan tujuh kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1), UUK Pelesenan Establisymen Makanan MPS 2007, UUK 3(1), UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPS 2007, UUK 3(1), UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPS 2007 serta SEK 6(1), Enakmen Hiburan dan Tempat- Tempat Hiburan 1995," katanya.
Tambah kenyataan itu, operasi berkenaan menghadapi sedikit kesukaran disebabkan lokasi premis yang terletak di tingkat atas bangunan dan dikawal oleh pemilik premis dengan pagar berkunci dan dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV).
"Hal ini juga merupakan salah satu punca mengapa pihak MPS sukar untuk mengenalpasti aktiviti yang berlaku dikawasan tersebut.
"Oleh itu kami, menyeru kerjasama penduduk Selayang yang mempunyai maklumat berkaitan premis yang beroperasi tanpa kelulusan, terutamanya warga asing untuk menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak MPS bagi tindakan selanjutnya," ujarnya lagi.
Comments