
Oleh: Akmal Manaf
Industri media Malaysia melakar sejarah baharu apabila Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 diluluskan oleh Dewan Rakyat, semalam.
Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran menyifatkan kelulusan berkaitan RUU itu membuka jalan untuk mengawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamalnya.
Beliau berkata, RUU yang telah lama ditunggu itu merupakan hasil kerjasama meluas antara kerajaan dan pihak berkepentingan dalam industri media.
Katanya, kerjasama itu sekali gus menunjukkan komitmen bersama untuk menegakkan kebebasan akhbar dan integriti kewartawanan.
"Kami mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan Kementerian Komunikasi atas dedikasi dalam melaksanakan RUU yang dinantikan ini.
"Usaha bersepadu mereka telah memainkan peranan penting dalam membentuk rangka kerja yang mengimbangi kebebasan media dengan akauntabiliti," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Yuneswaran berkata, penubuhan MMM menandakan satu peristiwa penting dalam landskap media negara dengan kuasa diberikan untuk menetapkan piawaian dan menguatkuasakan kod kelakuan.
Selain itu katanya, MMM juga berfungsi untuk menggalakkan kewartawanan yang beretika dan bertanggungjawab, sekali gus meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap industri berkenaan.
"Dengan menyediakan platform untuk penyelesaian aduan, MMM juga akan berfungsi sebagai penjaga kepada kebebasan media dan pemangkin kecemerlangan industri.
"Di samping RUU MMM ini, kami juga memuji Dewan Rakyat kerana meluluskan RUU BERNAMA (Pindaan) 2024 yang merupakan satu perundangan penting bertujuan memodenkan industri media Malaysia agar lebih inklusif dan responsif kepada cabaran semasa.
"Pindaan ini menandakan kemas kini pertama Akta BERNAMA 1967 (Akta 780) hampir enam dekad dan merupakan langkah besar dalam memperkukuh agensi berita nasional kita," ujarnya lagi.
Susulan sejarah yang tercipta dalam industri media negara, Yuneswaran turut memberi kredit kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan pasukannya atas usaha dilakukan.
"Saya memuji Menteri Komunikasi (Fahmi) atas kepimpinannya dalam memperkenalkan RUU (BERNAMA) yang direka untuk mengoptimumkan penggunaan media digital bersama platform tradisional.
"Dengan meluaskan skop BERNAMA melangkaui akhbar untuk memasukkan media cetak, elektronik dan digital, pindaan ini adalah selaras dengan rangka kerja Malaysia MADANI dan komitmen kerajaan untuk mengukuhkan keupayaan komunikasinya dalam persekitaran media yang berkembang pesat hari ini," katanya lagi.
Yorumlar