Oleh: Akmal Manaf
Sebagai langkah siap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) telah menganjurkan Program Sedia! Sukarelawan: Taklimat Persediaan Banjir Kuantan 2024 yang menyaksikan lebih 100 sukarelawan terlibat.
Menurut satu kenyataan, sukarelawan yang mengambil bahagian dalam program yang diadakan di Bilik Seminar MBK itu terdiri daripada pimpinan komuniti, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pendidikan tinggi.
Kenyataan sama memaklumkan, program yang diadakan baru-baru ini, bertujuan memberikan pengetahuan kepada sukarelawan komuniti tentang peranan yang dimainkan agensi-agensi berwajib dalam mengendalikan pengurusan bencana dan bantuan khususnya menghadapi banjir pada musim tengkujuh pada Disember hingga Januari 2025.
"Program ini juga memberi peluang kepada anggota komuniti dan organisasi bukan kerajaan untuk berkongsi bidang kepakaran masing-masing yang boleh disumbangkan bagi memastikan kita sebagai komuniti lebih bersedia untuk menghadapi MTL yang membawa risiko ribut dan banjir.
"Ia merupakan inisiatif bersama di bawah Program Kepimpinan Dan Kejiranan APPGM-SDG serta Ahli Majlis Bandaraya Kuantan dengan kerjasama beberapa organisasi utama dalam komuniti termasuk Wanita Inspirasi Kuantan (WINK), Kuantan Prihatin, Pertubuhan Komuniti HARAP Kuantan, Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO), Yayasan Madani, Yayasan Belia Malaysia dan Pertubuhan IKRAM Pahang," katanya.
Program berkenaan dirasmikan Ahli Majlis Bandaraya Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi yang juga Ketua Cabang KEADILAN Kuantan berharap inisiatif bersama itu dapat diperkukuhkan dan diperkemaskan bagi memastikan pengendalian bencana dapat diuruskan dengan lebih baik.
"Tahniah saya ucapkan kepada sukarelawan yang hadir terutamanya kumpulan belia daripada pelbagai institusi pendidikan sekitar Kuantan yang menunjukkan semangat khidmat dan prihatin," kata Fakhrul.
Agensi yang telah hadir memberikan taklimat antaranya wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Norsuriani Khamarludin; wakil Penolong Pengarah Kanan Bahagian Komuniti, Agensi Pengurusan Bencana Nasional (NADMA); Nurfarahin Abd Aziz; Penolong Pengarah Kanan Seksyen Pembangunan Komuniti Dan Sosial Angkatan Pertahanan Awam (APM), Mejar (PA) Zahidi Zainudin serta Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuantan.
Program turut diisi dengan perkongsian pengalaman oleh Pengerusi Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO) Prof Dr Dinsuhaimi Sidek.
Program pemerkasaan kepimpinan belia akan diteruskan selepas ini di bawah Projek Ikatan Muda Prihatin Kuantan (IMPAK) di bawah tajaan APPGM-SDG.
留言