Mahasiswa perlu menerima, hadam pemikiran lingkungannya dan menyebarkan idea ke masyarakat sekeliling untuk menjadi lebih berakar budi dan manusiawi.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mahasiswa mendalami konsep Malaysia Madani untuk menjadi mahasiswa yang lebih menyanjung nilai ketamadunan berbanding sebelum ini.
"Mahasiswa ini tumpuannya untuk cemerlang dalam pelajaran tetapi juga kita tahu mereka adalah elemen segar dalam masyarakat.
"Saya selalu ungkapkan mempertahan kebenaran, mempertahan keadilan, membawa nilai kemanusiaan, menolak kebejatan, rasuah dan penyelwengan. Ini suara anak muda
"Kita kata ini public intellectual . Saya selalu meminjam perkataan Edward Said seorang pemikir.
"Bila bicara soal public intellectual dia bukan perkakas sesiapa. Dia menimba ilmu, mendapat pencerahan, menyampaikan maklumat dengan berani dan benar. Bukan sahaja untuk diri dia tetapi keluarga dan masyarakat," katanya ketika berucap dalam dalam Program Temu Anwar di Dewan Tuanku Syed Putra Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada Ahad.
Menurut PM, meskipun Malaysia relatifnya negara aman namun masih terganggu oleh tanggapan antarabangsa sebagai negara pengamal rasuah.
Rasuah telah menghakis pendapatan negara buat sekian lama dan golongan mahasiswa perlu memerangi tabiat korupsi itu.
"Kita walaupun warisi satu sistem relatif aman, tetapi banyak kebobrokan berlaku. Malaysia hari ini sangat dikenali sebagai negara rasuah dan ada bibit perpecahan, sikap melampau dalam agama, jadi tanggungjawab saudara adalah mengangkat semula negara ini sebagai negara gagah.
"Kita mahu generasi muda yang mempunyai pendirian, keyakinan dan keberanian.
"Punya matlamat dan tujuan jelas, dan tujuan itu tidak boleh dalam kerangka perkauman sempit atau sikap pelampau dalam agama," katanya.
Di samping itu untuk menjadi negara Madani, kata Anwar, mahasiswa perlu pemikiran yang kritis dan hal itu menjadi dasar Kerajaan Perpaduan.
"Dalam dunia pendidikan itu cabaran baru. Mutu pendidikan dan akses untuk mendapat pendidikan berkualiti.
"Timba ilmu, buat penilaian dengan baik, pemikiran kritis. Saya bincang dengan Mentei Pendidikan Tinggi dan berkesempatan saya akan jumpa semua Naib Canselor. Iklim di universiti harus terbuka dan bebas. Anak anak patut dibei ruang beri pandangan dan kritikan, baru boleh angkat mutu universiti yang cemerlang," katanya.
Dalam sesi tanya jawab pula Anwar menjawab hampir 10 soalan soalan berkisar mengenai doktor kontrak yang mana pentadbirannya bukan sahaja berjanji tetapi telah memulakan penyerapan doktor kontrak dalam perkhidmatan awam mulai tahun ini.
Begitu juga polisi berjimat cermat kerana hutang negara yang amat tinggi, namun kerajaan tetap juga meneruskan program biasiswa tertentu dan kepada pelajar luar negara yang terjejas akibat kemerosotan nilai ringgit dalam menaikkan elaun mereka.
Comments