Mahasiswa KEADILAN bersama Mahasiswa Harapan telah melancarkan Misi Banjir sejak hari pertama bencana itu melanda pada 18 Disember lalu.
Menurut Presiden Mahasiswa KEADILAN Malaysia, Syamil Luthfi (gambar atas), pergerakan itu telah menghantar bantuan kepada mangsa banjir di Bukit Lanchong, Petaling Jaya, Selangor sejak hari pertama dan kini bantuan telah dihantar kepada mangsa mangsa di Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang yang terlibat banjir.
"Saya dan rakan-rakan sudah turun ke kawasan terjejas sejak hari pertama banjir berlaku di Bukit Lanchong. Mahasiswa Harapan sempat membekalkan makanan segera buat mangsa yang diselamatkan oleh pihak penguasa," katanya
Di samping itu, menurut Syamil, tabung kutipan derma juga digerakkan oleh Mahasiswa Harapan pada hari kejadian dan sehingga semalam kira-kira hampir RM60 ribu berjaya dikumpulkan.
"Setakat hari ini sebanyak RM27,000 telah dibelanjakan bagi tujuan membantu dan sumbangan barangan kepada penduduk.
"Padang Jawa, Bukit Lanchong, Sri Muda, Jelebu, Lubok Cina dan Bentong merupakan antara kawasan yang telah dibantu oleh Mahasiswa Harapan," katanya lagi.
Misi berkenaan, kata beliau, menjadi mudah apabila anggota mahasiswa tinggal di kawasan berdekatan lokasi bencana.
Comments