Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam di Malaysia agar menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh tauladan dalam hidup.
Katanya, pada waktu dunia dibadai kemarau mencari contoh dan suri teladan, umat Islam sewajarnya bersyukur dan menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai murabbi terunggul dan dijadikan ikutan sama ada dalam urusan duniawi mahupun ukhrawi.
"Nabi Muhammad SAW adalah murabbi yang wajib diberi sorotan dengan penuh perhatian, bukan sahaja keperibadiannya namun mesti mencakup sisi kepemimpinan negara, masyarakat dan keluarga khususnya dalam konteks model negara bangsa Madinah," katanya.
Anwar turut mengingatkan konsep negara Madani yang dijadikan dasar negara hari ini adalah diambil daripada keindahan, keadilan dan kesaksamaan pemerintahan Rasulullah SAW di bumi Madinah.
"Cita-cita negara yang madani tidak lepas dari mengambil ibrah dan model Piagam Madinah yang dipelopori oleh Baginda berasaskan formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan bertiangkan keadilan dan ihsan," katanya lagi.
Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2024/1446H yang bertemakan ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke sambutan tersebut, yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri dan kira-kira 6,000 tetamu.
Comments