
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyifatkan persetujuan bersama dicapai antara Kementerian Pendidikan (KPM) dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah mampu memberi impak positif terutama kepada sektor pendidikan di negeri itu.
Jelasnya, persetujuan berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu bukan sahaja memberi manfaat dalam konteks pentadbiran, tetapi juga membuka peluang lebih besar untuk JPN Sabah menerajui isu-isu pendidikan pada peringkat tempatan.
"Memasukkan citra Sabah antara perubahan penting mengukuhkan interaksi dan MADANInya pendidikan, juga soal infrastruktur dan peruntukkan bencana alam antara perkara telah dicapai dalam persetujuan MA63.
"Ini akan dapat memberi semangat kepada para pelajar dan pendidik agar dapat memastikan isu-isu pendidikan dapat diatasi dengan segera," katanya dipetik.
Fadhlina ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Kepimpinan Negeri Sabah di Dewan Sekolah Menengah Kian Kok di Kota Kinabalu pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan (KPPM), Azman Adnan serta Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Exco Pendidikan negeri.
KPM menerusi kenyataan media pada 14 November lalu memaklumkan beberapa persetujuan dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan (JTBPP) Negeri Sabah.
Selain memasukkan citra Sabah dalam kurikulum dan dasar pendidikan negara, KPM turut bersetuju dengan tuntutan berkaitan fleksibiliti dan autonomi berkaitan peruntukkan disalurkan kepada JPN Sabah.
Persetujuan bersama turut dicapai dalam isu pengambilan guru baharu yang dipecahkan mengikut tiga wilayah, iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, perancangan projek, perkongsian maklumat mengenai perpindahan pegawai kanan JPN ke ibu pejabat KPM dan perkongsian data berkaitan pendidikan.
Comments