Kerajaan Persekutuan telah memberi kerjasama erat menyelesaikan isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Jumaat.
Jelasnya, beberapa perkara berkaitan autonomi Sarawak terhadap perkhidmatan kesihatan antaranya peningkatan taraf fasiliti kesihatan dan klinik kesihatan daif dan projek rintis fasiliti kesihatan Sarawak sudah menunjukkan perkembangan positif hasil beberapa perbincangan diadakan.
"Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sarawak pada 9 Sept lepas dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian. Pelbagai isu telah dibincangkan yang telah menunjukkan perkembangan positif.
"Namun demikian, masih banyak lagi perkara yang akan terus kita bincangkan dan harap dapat dicapai banyak lagi persetujuan," katanya dipetik.
Ia sebagai menjawab soalan dikemuka seorang ADUN tentang status terkini Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terutama dalam bidang perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.
Mengulas mengenai bidang pendidikan, Sharifah Hasidah menjelaskan, sepuluh tuntutan Sarawak berkaitan pendidikan sudah dipersetujui Kerajaan Persekutuan.
"Antara tuntutan yang menjadi penting dan utama serta diluluskan kepada kerajaan Sarawak ialah perwakilan kuasa meluluskan projek yang dibiayai kerajaan Sarawak atau mana-mana pihak lain selain kerajaan Persekutuan kepada Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak," katanya.
Antara tuntutan lain ialah kebenaran kepada kerajaan Sarawak untuk mengambil guru Contract of Service, namun masih tertakluk kepada pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan; menetapkan peruntukan masa Pendidikan Islam tidak mengganggu masa mata pelajaran yang lain terutamanya Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta perkongsian data pendidikan.
Comentários