LTAT umum dividen, bonus 5.25 peratus, tertinggi dalam tujuh tahun
- Suara Keadilan
- Mar 27
- 2 min read

Prestasi pulangan simpanan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menunjukkan peningkatan baik apabila agensi itu hari ini mengumumkan kadar dividen 5% berserta bonus 0.25% bagi tahun 2024, kadar tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
Agihan dividen itu melibatkan pembayaran sejumlah RM514.20 juta, meningkat berbanding RM485.08 juta pada 2023 sekali gus menjadi pulangan tertinggi yang disalurkan LTAT kepada ahlinya.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika mengumumkan perkara itu berkata pemberian dividen itu bakal dinikmati 125,014 pencarum yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Agihan itu menunjukkan LTAT mengekalkan dividen pada kadar lima peratus bagi tiga tahun berturut-turut sekali gus mencerminkan pemulihan yang kukuh, prestasi mampan dan kestabilan dana," katanya dipetik pada Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2024 di Kuala Lumpur.
Dividen 2024 akan dikreditkan ke akaun pencarum pada 28 Mac 2025.
Sementara itu, Ketua Eksekutif LTAT Mohammad Ashraf Md Radzi berkata LTAT telah mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM753 juta pada 2024, meningkat 2.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pertumbuhan ini didorong oleh usaha kepelbagaian aset serta pulangan lebih tinggi daripada aset strategik, mencerminkan pengurusan portfolio yang disiplin dan komitmen terhadap pertumbuhan yang mampan, ujarnya.
"Keuntungan bersih juga terus meningkat positif, dengan lonjakan sebanyak 23.7 peratus kepada RM588 juta bagi tahun kewangan 2024 berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang kukuh dan pengurusan kos yang berhemat," katanya.
Beliau berkata LTAT merancang untuk mengurangkan pegangan aset strategik daripada 56 peratus kepada 35 peratus di bawah 'Projek Bumi' dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk menurunkan pendedahan di samping mengekalkan kawalan.
Aset strategik kini menyumbang 56 peratus kepada RM13.6 bilion di bawah pengurusan, katanya.
Beliau berkata aset strategik LTAT termasuk anak syarikat milik penuhnya, Boustead Holdings Bhd, 54.9 peratus kepentingan dalam Pharmaniaga Bhd dan 22 peratus kepentingan dalam Affin Bank Bhd.
Comments