Oleh: Abdullah Zaid
Sebanyak 11,430 permohonan diterima Lembaga Penapisan Filem (LPF) bagi tujuan tapisan filem sepanjang 2023.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, LPF mengenakan caj penapisan filem kepada filem yang ingin ditayangkan.
Jelasnya, pihak lembaga penapisan itu menetapkan tiga kategori selain menetapkan empat garis panduan antaranya keselamatan dan ketenteraman awam; keagamaan; sosial budaya dan ketertiban dan ketatasusilaan bagi sebarang kebenaran filem itu disiarkan.
"Ada tiga keputusan iaitu lulus bersih, kategori lulus dengan pengubahan dan tidak lulus langsung untuk tayangan.
"Sekiranya tema atau genre jalan cerita didapati secara terang-terangan melanggar empat aspek dalam garis panduan maka keputusan tidak lulus tayang akan dikenakan," katanya Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau demikian ketika memberi penerangan berkenaan pemerkasaan LPF di bawah kementeriannya.
Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan kementerian tidak akan meluluskan kandungan mempromosikan gaya hidup LGBTQ termasuk filem yang mengandungi elemen komunisme, Islamofobia, ajaran sesat dan bertentangan dengan akidah Islam.
"Dalam konteks ini suka saya maklumkan Kerajaan Malaysia tidak pernah meratifikasi mana-mana konvensyen antarabangsa berkaitan LGBTQ serta tak pernah mengiktiraf sebarang gaya hidup LGBTQ.
"Oleh itu, mana-mana filem yang memaparkan kandungan mempromosi gaya hidup seumpama itu setelah ditapis tidak akan diluluskan tayangannya di Malaysia bergantung kepada keseluruhan jalan cerita begitu juga filem-filem yang mengandungi elemen komunisme, Islamofobia dan bertentangan dengan akidah Islam dan ajaran sesat," ujarnya.
Comments