Oleh: Abdullah Zaid
Tindakan Pas menerima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia dari UMNO sebagai anggota menjadi persoalan, khususnya mengenai pendirian parti itu dalam isu lompat parti yang sering berubah-ubah sejak 2009 lalu.
Bagi Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari, langkah Pas itu tidak bersesuaian dengan imej Islam mereka yang sepatutnya konsisten dalam sesuatu hal.
Katanya, dengan sering menukar pendirian tanpa dalil yang jelas, hal itu hanya akan menyebabkan Pas tidak lagi dihormati rakyat.
"Fatwa Pas hanya digunapakai jika perkara itu memihak kepada mereka. Jika sebaliknya, semuanya adalah haram.
"Tidak mustahil jika rakyat memberikan mandat kepada mereka, sudah pasti Pas akan melakukan perkara yang lebih teruk dan luar biasa daripada apa yang mereka tentang hari ini," katanya kepada Suara Keadilan.
Kelmarin, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sidang media di Parlimen mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis telah menyertai Pas berkuatkuasa pada 10 Jun tahun lalu.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, kerusi DUN milik Kerajaan Negeri Melaka tidak perlu dikosongkan memandangkan undang-undang antilompat parti diluluskan pada 31 Julai 2023.
Tindakan pemimpin Pas tersebut dikecam rakyat kerana bercanggah dengan prinsip parti itu beberapa hari sebelumnya memprotes keputusan speaker Dewan Rakyat dalam isu enggan mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen bekas anggota Bersatu yang beralih menyokong Perdana Menteri (PM).
Mengulas lanjut, kata Taufiq, pendirian enam Ahli Parlimen tersebut hanyalah menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM tetapi mereka tidak pernah meninggalkan parti, malah masih setia kepada Bersatu.
"ADUN Rembia pula jelas mengkhianati parti dan rakyatnya. Sedangkan enam Ahli Parlimen Bersatu hanya menyatakan sokongan kepada PM atas dasar kepentingan rakyat (peruntukan kawasan) tanpa meninggalkan parti mereka.
"Masih setia pada perjuangan dan tidak mengisytihar menyokong dari sudut politik (keluar parti)
"Namun, mereka kemudiannya dianiaya oleh pimpinan partinya sendiri dengan dipecat daripada parti tersebut," ujarnya.
Untuk rekod, Jailaini yang menyertai Pas pernah menjadi ADUN Rembia atas tiket KEADILAN - PH pada pilihan raya umum 2018.
Namun, dia bersama tiga ADUN PH menyokong usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka ketika itu Adly Zahari sehingga pilihan raya negeri (PRN) diadakan.
Jailani melompat parti dan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) sebelum bertindak keluar BN dan menyertai Pas.
Bagi Pas pula pendirian lompat partinya diragui kerana pernah menentang keras apabila kerajaan Pas Perak bubar pada 2009. Kemudian menghalalkan lompat sewaktu menyertai Langkah Sheraton 2020. Mengharamkan lompat dalam isu 6 Ahli Parlimen Bersatu 2024 dan menghalalkan semula seminggu kemudian.
Comments