Lombong emas di balik kebun durian di Raub palsu, janaan AI
- Suara Keadilan
- 5 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Dakwaan kononnya wujud aktiviti pelombongan emas haram di sebalik kebun durian musang king yang menceroboh tanah Kerajaan Negeri di Raub, Pahang yang heboh diperkatakan baru baru ini hanyalah fitnah semata mata.
Pasukan Biar Betul dari Kementerian Komunikasi yang menyiasat punca berita itu mendapati kandungan tersebut dibuat tanpa fakta yang sahih.
Pasukan itu dalam laman sosialnya memberitahu, hantaran di Facebook yang mendapat perhatian tinggi tersebut turut mengundang pelbagai komen negatif.
Katanya dalam hantaran itu juga terdapat pihak yang cuba menimbulkan isu perkauman Cina-Melayu.
''Semakan pasukan Biar Betul mendapati perkara sebenar bukan macam yang ditular.
''Gambar yang diperkatakan sebenarnya adalah gambar rekaan hasil ilustrasi janaan kecerdasan buatan (AI).
''Gambar sama turut dikongsi dalam halaman komuniti Facebook bagi pembelajaran AI,'' maklum pasukan itu kepada orang ramai.
Justeru, pasukan Biar Betul menasihati masyarakat agar jangan terpengaruh dengan naratif sensasi yang direka.
Jika terpedaya katanya, kebenaran akan tenggelam dalam kekeliruan.
留言