
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberi peringatan tegas kepada syarikat Vern's Holding Sdn Bhd yang terlibat dalam isu logo kasut jenamanya mirip kalimah Allah yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Ketua Pengarahnya Datin Hakimah Mohd Yusoff berkata, selaras dengan arahan Menteri di-Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), JAKIM telah mengadakan pertemuan dengan Pengasas dan Pengarah Urusan Vern’s Holding, Datuk Seri Ng Chuan Hoo bagi tujuan siasatan dan meminta penjelasan mengenainya dan langkah-langkah pihak syarikat itu untuk mengelak isu seumpama itu berulang.
"JAKIM memandang serius terhadap isu logo kasut yang didakwa mirip kalimah Allah yang tular di media sosial baru-baru ini.
"Isu ini jelas melibatkan sensitiviti umat Islam serta boleh menggugat perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini," katanya dalam kenyataan.
Hakimah berkata, JAKIM menyokong penuh tindakan pihak polis dalam mengadakan siasatan lanjut dan sekiranya wujud elemen disengajakan dalam isu logo kasut tersebut oleh pihak syarikat, maka tindakan sewajarnya perlu diambil berlandaskan undang-undang di negara ini.
"JAKIM juga tidak mahu kes sebegini berulang lagi di masa akan datang sama ada oleh pihak Vern’s Holding dan juga semua pihak yang menghasilkan apa sahaja produk jualan.
"JAKIM memperingatkan dengan tegas kepada pihak Vern’s Holding dan juga kepada semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport untuk sentiasa cakna dan memberi perhatian serius terhadap isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum bagi mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat keseluruhan," tegasnya.
Dalam masa sama, kata beliau, semua pihak dinasihatkan untuk tidak membangkitkan isu-isu menyentuh aspek 3R (agama, raja dan kaum) yang boleh menimbulkan ketegangan dan menjejaskan keharmonian serta menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan memandangkan kes tersebut telah dibuka kertas siasatan oleh pihak polis.
Dalam pada itu, katanya, pihak Vern’s Holding telah menjelaskan kedudukan sebenar isu berkenaan serta memohon maaf.
"Pihak syarikat telah mengambil tindakan drastik dengan menarik balik serta-merta produk tersebut dari lebih 70 cawangan Vern’s di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak," ujarnya.
Terdahulu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam sidang media hari ini berkata polis merampas sebanyak 1,145 pasang kasut bagi membantu siasatan berkaitan logo kasut didakwa mirip kalimah Allah.
Kata beliau rampasan itu telah dilakukan di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kedah manakala siasatan masih diteruskan. Buat masa ini tiada tangkapan dibuat, ujarnya.
Comments