Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) komited untuk terus membantu usahawan tempatan memasarkan produk keluaran mereka ke pentas antarabangsa menerusi program 'Local To Global'.
Timbalan Menterinya, Senator Dr Fuziah Salleh berkata, pihaknya akan memberikan lebih tumpuan terhadap program berkenaan pada tahun hadapan.
"Kita tahu bahawa ianya bukan tanpa cabaran, tetapi kita usahakan juga untuk membawa produk usahawan tempatan ke selatan Thailand contohnya.
"Kalau ada kelonggaran sedikit seperti yang Datuk Ameer Ali Mydin (Pengarah Urusan Mydin) cakap, contohnya belum dapat sijil halal lagi, kita bawa juga (produk mereka).
"Kemudian kita bantu mereka mendapatkan sijil halal, ini juga kita sedang dilakukan untuk membantu usahawan-usahawan tempatan masuk ke dalam ruang yang lebih luas di luar negara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang diadakan di Mydin Subang Jaya, hari ini.
Menurut Dr Fuziah, pihak kerajaan juga sudah memulakan inisiatif untuk membuka ruang dan peluang kepada usahawan tempatan berniaga di Pattani, Songkhla, Yala dengan membawa produk mereka.
"Pada masa sama, kita juga bekerjasama dengan rakan strategik yang lain seperti AEON, Lulu dan Lotus untuk membawa produk-produk tempatan ke luar negara," ujar beliau lagi.
Terdahulu, beliau yang juga Setiausaha Agung KEADILAN dalam ucapannya menyentuh mengenai cabaran yang dihadapi terutamanya golongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
"Sebab kita tahu kadang-kadang makanan itu sedap, produk itu bagus... tapi kadang-kadang labelnya bermasalah.. kadang-kadang pensijilan (halal) itu tak dapat-dapat kerana produk PMKS itu kadang-kadang nak dapatkan sijil halal pun susah.
"Sebenarnya tak susah, tapi oleh kerana mereka kadang-kadang terperangkap dalam keadaan tidak dapat menyelesaikan masalah, jadi mereka tak dapat sijil halal disebabkan tiada dapur berasingan (contohnya).
"Mereka bertahun-tahun tak dapat mengatasi masalah tersebut oleh kerana tak boleh nak buat dapur yang berasingan, maka mereka tak dapat nak mohon sijil itu.
"Sebab itu KPDN untuk yang ke hadapan ini, amat-amat berterima kasih kepada rakan strategik kerana mereka banyak membantu kita," katanya.
Comments