Kedatangan tahun baharu 2025 diharap dapat membawa peluang untuk rakyat negara ini meningkatkan daya saing, mempelbagaikan sumber pengeluaran makanan, dan mengutamakan kelestarian dalam setiap langkah yang diambil.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, cabaran yang ditempuhi sepanjang tahun ini menjadi pelajaran berharga untuk memperbaiki diri dan memperkasakan sektor makanan dan keterjaminan makanan.
"Tahun 2024 yang baru sahaja kita tinggalkan merupakan tahun yang penuh dengan cabaran. Kita berdepan dengan ketidaktentuan cuaca akibat perubahan iklim, tekanan ekonomi global, dan cabaran dalam memastikan keterjaminan makanan untuk semua rakyat Malaysia.
"Namun, cabaran-cabaran ini telah kita tangani dengan penuh tekad dan kesepaduan, hasil usaha gigih semua pihak – daripada petani, penternak, dan nelayan, kepada pemimpin industri, serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Sambil melahirkan rasa bangga dengan semangat dan daya tahan rakyat negara ini, beliau berkata tahun 2025 merupakan masa untuk melipatgandakan usaha dalam membangun negara yang lebih lestari, inklusif, dan makmur untuk generasi masa depan.
Mohamad berkata melalui kolaborasi erat antara sektor awam dan swasta, negara berjaya menstabilkan rantaian bekalan makanan negara, menggalakkan inovasi dalam sektor agromakanan, serta memastikan makanan yang selamat dan mencukupi untuk semua.
"Walaupun tidak mudah, perjalanan ini telah mengukuhkan asas kita untuk terus maju ke hadapan," ujarnya lagi.
"Semoga 2025 akan menjadi tahun yang penuh dengan keberkatan, kejayaan, dan kebahagiaan untuk kita semua."
Comments