Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertindak menyekat akses terhadap 3,682 laman wab haram yang menyebarkan kandungan cetak rompak seperti filem dan muzik popular dari 2021 hingga November 2024 sebagai langkah melindungi hasil karya tempatan.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan yang dilaksanakan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan penyedia perkhidmatan Internet (IPS) itu dilakukan setelah mendapati terdapat peningkatan dalam isu cetak rompak digital dan ancaman pelanggaran hak cipta.
"Ini sebahagian komitmen kementerian untuk melindungi karya kreatif tempatan daripada dieksploitasi secara haram," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau berdasarkan kajian Asia Video Industry Association (AVIA), Malaysia mencatatkan jumlah tontonan halaman sebanyak 1 bilion hantaran November 2023 hingga Ogos tahun lalu yang membawa kepada risiko cetak rompak digital.
"KPDN dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah mengambil langkah tegas untuk menghalang kandungan cetak rompak yang memberi impak buruk kepada pencipta karya dan ekonomi digital negara termasuk pindaan dalam Akta Hak Cipta 1987.
"Akta itu dipinda pada 2022 yang mengenakan hukuman berat terhadap pihak yang melanggar hak cipta digital dengan denda sehingga RM500,000 dan hukuman penjara sehingga 10 tahun," katanya.
Armizan berkata bagi memperkukuh lagi usaha melindungi karya kreatif, KPDN juga telah memperkenalkan ‘Program Cyber Copyright Enforcement (CyCORE)’ yang melibatkan kerjasama antara kementerian, SKMM, IPS dan pemilik hak cipta.
"KPDN akan terus memperkukuh kerjasama dengan pelbagai agensi yang terlibat dalam usaha menangani isu cetak rompak digital," ujarnya.
Dalam pada itu, Armizan berkata aspek kesedaran pendaftaran harta intelek dalam konteks hak cipta telah meningkat apabila sebanyak 69,442 permohonan Pemberitahuan Secara Sukarela Hak Cipta difailkan di MyIPO dari 2012 hingga tahun lepas.
Beliau berkata ia termasuk pelbagai karya kreatif seperti sastera, seni, muzik, filem dan rakaman bunyi.
"Peningkatan permohonan hak cipta ini menggambarkan tahap kesedaran yang semakin tinggi di Malaysia mengenai kepentingan melindungi hasil karya dan pengurusan harta intelek," katanya lagi.
Comments