Keputusan Kerajaan Madani baru-baru ini meletakkan pembangunan dan kesejahteraan perkampungan masyarakat India di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merupakan satu langkah bersejarah ke arah inklusiviti dan meningkatkan kemajuan kaum India di Malaysia.
Menurut Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr Gunaraj George, langkah tersebut amat bermakna kepada komuniti India kerana mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memperkasakan komuniti yang kurang menikmati kemajuan ekonomi dan sosial di negara ini dengan menyediakan infrastruktur asas dan perkhidmatan yang penting.
Keputusan Kabinet itu, katanya, menyusul selepas pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 47 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri India yang mengukuhkan tekad kerajaan untuk memastikan tiada rakyat terpinggir atau disisihkan.
"Dana tersebut (yang diperuntukkan) akan menyokong pembinaan jalan raya, penambahbaikan sistem saliran, pembangunan dewan awam, penciptaan taman awam Madani, dan penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk perkampungan masyarakat India.
"Selama bertahun-tahun, banyak perkampungan masyarakat India telah bergelut dengan infrastruktur yang kurang dana, akses terhad kepada kemudahan asas, dan kekurangan sokongan berterusan dari segi struktur tadbir urus formal," katanya dalam kenyataan.
Tambah Dr Gunaraj, cabaran untuk memperbaiki taraf hidup komuniti India agak mendesak. Katanya, kerajaan perlu membaiki keadaan jalan raya yang buruk, menangani banjir akibat saliran tidak mencukupi, menambah pusat komuniti untuk perhimpunan dan perayaan, serta perwakilan yang terhad dalam pembangunan tempatan.
"Dengan meletakkan perkampungan masyarakat India di bawah KPKT kerajaan telah mengambil langkah berani ke arah memenuhi nilai-nilai teras Malaysia Madani iaitu hormat, kasih sayang dan ihsan, iaitu mengutamakan komuniti yang kurang mendapat perhatian," katanya.
Beliau menambah cabaran yang dihadapi oleh perkampungan komuniti India pada waktu ini berpunca daripada kekurangan pewartaan formal dan sistem yang perumahan yang terstruktur.
"Inisiatif ini akan menyediakan perkampungan masyarakat India dengan kemudahan asas bagi memastikan kampung-kampung yang mereka diami lebih selamat, selesa, dan boleh didiami, sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani.
"Ia juga mengukuhkan komuniti ini dengan peningkatan infrastruktur yang sangat diperlukan dan suara yang lebih kuat melalui JKKK," ujarnya.
Selain itu, kata beliau, inisiatif pembangunan perlu berjalan lancar dengan bantuan pihak Pejabat Tanah Daerah yang harus memainkan peranan penting dalam memudahkan urusan tanah serta kelulusan projek infrastruktur.
Oleh itu, Dr Gunaraj menegaskan komitmennya untuk menyokong dan memantau pelaksanaan langkah-langkah baharu berkenaan dalam memastikan perkampungan komuniti India akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada langkah progresif kerajaan.
"Inisiatif tepat pada masanya ini menandakan era baharu bagi perkampungan masyarakat India di Malaysia. Dengan menangani keperluan jangka panjang mereka, kerajaan menunjukkan komitmennya terhadap pembangunan inklusif dan keadilan sosial bagi komuniti India.
"Saya mengagumi kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri KPKT Nga Kor Ming kerana merealisasikan visi yang menunjukkan bahawa keadilan sosial bagi semua rakyat Malaysia adalah keutamaan yang diutamakan," katanya lagi.
Comments