Oleh: Abdullah Zaid
Langkah kerajaan mewujudkan kawal selia platform media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet agar lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga dengan perlesenan disambut baik Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan.
Ketua Penerangannya, Muhammad Azha Salahudin berkata kawal selia melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) amat perlu dilakukan bagi menangani jenayah siber yang semakin membarah.
"Sejak kebelakangan ini, negara dikejutkan dengan insiden-insiden dan kes-kes dalam talian yang semakin meningkat tanpa kawalan seperti aktiviti scam yang membawa kepada kerugian dalam bentuk wang yang besar kepada pengguna, perkhidmatan seks yang tiada kawalan termasuk jenayah seksual kepada kanak-kanak dan terbaru kes buli siber yang telah meragut nyawa.
"Sudah sampai masa bagi perkhidmatan-perkhidmatan dalam talian ini dikawal sebelum ianya menjadi barah lebih teruk dan bom jangka yang menunggu masa untuk meletup sekiranya tidak dikawal," katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, AMK Wilayah Persekutuan juga menyeru pihak MCMC agar bertindak tegas kepada syarikat platform media sosial untuk mematuhi ketetapan selaras dengan undang-undang negara.
"AMK Wilayah Persekutuan juga menggesa pihak MCMC tidak memberi muka melayan sebarang alasan, permintaan, rundingan atau pengecualian dari pihak-pihak penyedia perkhidmatan ini agar perkara berkenaan dapat dilaksanakan dan dikuat kuasakan dalam masa yang ditentukan, iaitu pada 1 Januari 2025 demi kebaikan dan keselamatan semua," katanya.
Kelmarin, MCMC dalam kenyataan memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Menurut kenyataan itu langkah berkenaan akan dikuat kuasa bermula 1 Januari 2025, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet diperkenal bermula 1 Ogos ini.
Penguatkuasaan ini kata MCMC, selaras keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet di negara ini mesti mematuhi undang-undang Malaysia.
"Ia adalah bagi memerangi kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang semakin membarah," tambah kenyataan itu.
Comments