Keupayaan Kerajaan Perpaduan untuk menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16 boleh diukur dengan kekuatan penggiat siber yang menyokong mereka menuju pilihanraya berkenaan.
Bagi pempengaruh Shahbudin Embun, menghadapi pembangkang yang mempunyai pasukan laskar siber berbayar dan sesetengahnya diberi elaun tetap yang lumayan, parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan perlulah melakukan sesuatu untuk memperkuat kedudukan penggiat siber pro mereka di alam siber.
Katanya, seandainya Kerajaan Perpaduan kalah dalam persaingan media sosial maka agak sukar untuk mereka menang dalam persaingan sebenar PRU 16.
"Kalau kita kalah dalam media sosial, kita akan kalah dalam PRU kelak," katanya dalam sidang media pada Persidangan Meja Bulat dan Bengkel Pempengaruh Mempertahankan Kerajaan Perpaduan di Kuala Lumpur hari ini.
Shahbudin yang juga seorang penulis politik terkenal berkata, usaha Pertubuhan Media Digital Malaysia (MEMO) mengumpulkan penggiat siber hari ini perlu dihargai kerana banyak yang datang dari jauh seperti Perlis, Kedah, Perak dan Terengganu.
Katanya, mereka selama ini berjuang tanpa meminta bayaran hanya kerana mahukan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya Datuk Seri Zahid Hamidi terus berkuasa.
"Saya merayu bagi pihak kawan kawan. Mereka ini memastikan Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar, Datuk Seri Zahid terus kekal.
"Jadi bantulah orang orang ini. Boleh periksa rating (followers) mereka. Kerja cytro ini tidak kira masa. Kadang kadang kami bangun (solat) tahajud pun buka Facebook (update) dulu," katanya lagi.
Shahbudin berharap para pemimpin komponen Kerajaan Perpaduan mendengar rayuan para penggiat siber dan mencari jalan bagi menghargai mereka.
Comments