
Tindakan tegas bakal dikenakan terhadap mana-mana stesen televisyen yang melanggar garis panduan ditetapkan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil membuat kenyataan itu susulan isu penonton lelaki dilihat berpakaian seumpama wanita sewaktu menghadiri acara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) yang disiarkan secara langsung Ahad lepas.
"Keingkaran mematuhi garis panduan dan syarat-syarat lesen ditetapkan boleh mendatangkan kesan kepada pihak yang terlibat.
"Saya memberi jaminan bahawa pihak kerajaan akan mengambil tindakan yang tegas," katanya dipetik selepas merasmikan pembukaan OCBC Premier Private Client Centre di Bangsar, Kuala Lumpur pada Selasa.
Tindakan beberapa tetamu lelaki berpakaian menyerupai wanita itu mencetus perdebatan hangat di media sosial.
Rata-rata netizen tidak bersetuju dengan penampilan tersebut kerana dikatakan bertentangan dengan budaya dan agama.
Insiden itu turut menarik perhatian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee memaklumkan pihaknya akan memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan mengadakan sesi perbincangan secara tertutup bagi memberikan nasihat dan bimbingan.
Sementara itu Fahmi menyatakan rasa kecewa dengan isu berkenaan kerana pihak stesen televisyen berkenaan sudah sedia maklum mengenai semua garis panduan yang terpakai.
"Saya amat kecewa dengan mereka yang menguruskan AJL (Anugerah Juara Lagu).
"Seharusnya pihak Media Prima lebih bertanggungjawab. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Mereka tahu, dan mereka membenarkannya, ini tidak baik," tambahnya.
Comments