
Oleh: Akmal Manaf
Sebarang perbincangan berkaitan Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link) selepas ini wajar ke arah topik jajaran baharu dan bukannya tentang jajaran sedia ada.
Demikian tegas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang dijemput untuk menghadiri Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) bagi membincangkan isu mengenai PJD Link, semalam.
Dalam mesyuarat itu katanya, beliau telah mengeluarkan pandangan bahawa jajaran dikemukakan pemaju hanya sekadar pindaan jajaran lama dan bukan jajaran baharu seperti mana ditetapkan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Mei 2024.

''Beberapa wakil rakyat turut memberi pandangan yang sama. Saya beranggapa, sebagai penghormatan kepada keputusan jemaah menteri, sebarang perbincangan selepas ini wajar berdasarkan perbincangan jajaran yang baharu, yang jelas bukan jajaran sedia ada.
''Dengan ini, saya berharap isu yang lama membelenggu rakyat Petaling Jaya dapat dinoktahkan sekali gus membolehkan semua pihak menumpukan kepada kelengkapan dan kemudahan pengguna pengangkutan awam,'' Pengarah Komunikasi Nasional KEADILAN itu dalam satu kenyataan.
Untuk rekod pada 2023, Kerajaan Negeri Selangor membuat keputusan membatalkann projek PJD Link selepas pemaju menghantar laporan penilaian impak, terutama laporan penilaian impak sosial yang didapati tidak memuaskan dan tidak menepati syarat tertentu ditetapkan Kerajaan Negeri.
Namun pada 8 Mei 2024 Jemaah Menteri bersetuju agar pemaju, PJD Link (M) Sdn Bhd, diberi kelonggaran mengemukakan cadangan balas bagi jajaran baharu yang memberi nafas baharu kepada projek tersebut.
Comments