Oleh: Akmal Manaf
Kenyataan Presiden Pas, Hj Hadi Awang menyindir Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam berhubung isu tidak mengambil gaji Perdana Menteri (PM) sebagai tidak selari dengan amalan Rasullullah menunjukkan sikapnya yang sering mengelirukan rakyat.
Menurut Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) KEADILAN, Amidi Abdul Manan, keputusan PM berhubung isu gaji itu adalah hak peribadi beliau dan tidak boleh diperlekeh kononnya mahu menunjuk lebih 'baik daripada Rasulullah' dalam isu berkenaan.
Kata Amidi, isu gaji tersebut sepatutnya telah selesai kerana PM menyatakan beliau melakukan tindakan itu kerana keadaan ekonomi negara yang kurang baik dan bebanan hutang masih menggunung tinggi.
"Hadi kritik tindakan PMX (tidak ambil gaji). Katanya ia tidak wajar kerana tidak selari dengan amalan Rasulullah. Beliau menggunakan istilah 'lebih dari Rasulullah'.
"Jika itu yang dimaksudkan, ia membawa erti tindakan PMX tidak mengambil gaji adalah tidak selari dengan ajaran Islam," bidas Amidi dalam satu kenyataan.
Sedangkan, kata Amidi, perbincangan mengenai upah atau diistilahkan sebagai gaji termasuk dalam bab ijarah.
Menurut mantan pemimpin ABIM itu, ulamak muktabar berpandangan adalah suatu keharusan jika aajir (pekerja) tidak mengambil upah atas tujuan tertentu daripada musta'jir (majikan) mereka.
"Perbuatan tidak mengambil upah juga boleh dilihat sebagai satu sedekah jika cukup syaratnya sama ada sedekah untuk pihak lain atau pun sedekah kepada majikannya.
"Dalam hal bersedekah, ia boleh dilakukan secara sembunyi atau dihebahkan," katanya lagi.
Pada masa sama, Amidi berpendapat, Anwar yang juga Menteri Kewangan tentu amat maklum masih banyak wang negara yang boleh dijimatkan untuk memberi manfaat kepada rakyat terbanyak.
Maka perbuatan beliau tidak mengambil gaji itu, katanya, seharusnya dipuji bukan disindir atau diperlekehkan.
Kommentit