Lebih banyak tapak baharu bina Residensi MADANI dikenal pasti - Zaliha
- Suara Keadilan
- Aug 29, 2024
- 3 min read

Kerajaan telah mengenal pasti beberapa tapak baharu di Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi membina lebih banyak unit kediaman Residensi MADANI dalam usaha memastikan semua lapisan warga ibu kota dapat memiliki rumah sendiri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Ketika ini sebanyak 62,968 unit rumah mampu milik merangkumi yang telah siap, sedang dalam pembinaan dan menerima Perintah Pembangunan melibatkan 93 projek secara keseluruhan telah berjaya dicapai di Wilayah Persekutuan.
Di Putrajaya misalnya, sebanyak 1,336 unit Residensi MADANI Sentral sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2027.
"Jabatan Wilayah Persekutuan dan agensi di bawahnya, akan terus komited dalam memastikan semua lapisan masyarakat khususnya di Wilayah Persekutuan akan mampu memiliki rumah sendiri.
"Untuk itu, kita telah pun mengenal pasti beberapa tapak lain di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan juga di Putrajaya untuk membangunkan lebih banyak unit kediaman di bawah Program Residensi MADANI," kata Zaliha ketika berucap pada majlis perasmian dan pecah tanah Residensi Suria MADANI di Taman Desa, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur hari ini.
Perasmian disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Program perumahan mampu milik di Wilayah Persekutuan telah mula diperkenalkan pada 2013 menerusi Dasar Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) yang kemudiannya dikenali sebagai Residensi Wilayah bermula pada 2019 yang memberi fokus kepada golongan berpendapatan sederhana rendah (M40)
Zaliha berkata Jabatan Wilayah Persekutuan telah menyasarkan sebanyak 80,000 unit rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan dalam tempoh 10 tahun iaitu bermula 2018 hingga 2028.
Jelasnya, jumlah itu bagi menyokong sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membina sebanyak 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara.
"Saya difahamkan bahawa Kumpulan Mah Sing adalah di antara syarikat yang terlibat dalam pembangunan Residensi Wilayah di mana 660 unit di Parlimen Batu yang telah pun siap diduduki pada tahun 2020," ujarnya.
Sejajar dengan konsep Malaysia MADANI yang telah diluncurkan oleh PM Anwar pada 19 Januari 2023, Jabatan Wilayah Persekutuan menyahut hasrat itu menerusi program perumahan mampu milik Residensi MADANI Wilayah Persekutuan, katanya.
"Program Residensi MADANI Wilayah Persekutuan merupakan pelengkap kepada program perumahan mampu milik sedia ada iaitu Residensi Wilayah di mana pada kali ini fokusnya adalah kepada golongan sasar melibatkan kumpulan rentan dan mereka yang berpendapatan sederhana rendah dan ke bawah atau B40.
"Melalui program ini, kita telah memperkenalkan pelbagai kategori untuk penjualan dan sewaan mengikut keperluan serta berdasarkan kepada kemampuan golongan sasar tersebut. Permohonan juga dibuka khusus untuk warga Wilayah Persekutuan bagi yang belum pernah memiliki rumah," ujar Zaliha.
Unit kediaman Residensi MADANI adalah berkeluasan minimum antara 700 hingga 800 kaki persegi dengan harga jualan antara RM150,000 hingga RM200,000 seunit.
Dalam pada itu, Zaliha berkata projek Suria MADANI berharga RM200,000 seunit dengan keluasan 800 kaki persegi melibatkan 800 unit secara keseluruhan yang dijangka siap pada 2028.
"Jabatan Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan terus menawarkan insentif dan kemudahan kepada mana-mana syarikat pemaju perumahan yang berminat untuk membangunkan rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan.
"(Ia) seperti pengecualian caj pembangunan bagi komponen rumah mampu milik, pengurangan 50% kepada sumbangan wang perkhidmatan kemajuan bagi tujuan pembinaan jalan dan insentif lain," ujarnya.
Zaliha menjelaskan pembangunan Residensi Suria MADANI dilihat bertepatan dengan hasrat Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai “bandar untuk semua”.
Ini kerana kedudukannya yang agak strategik berhampiran dengan bandar serta menawarkan akses mudah kepada perkhidmatan penting seperti MRT.
"Ini selari dengan pembangunan Transit Oriented Output (TOD) dan akan menjadikannya sebagai pilihan ideal kepada mereka yang mencari perumahan mampu milik tanpa mengorbankan keselesaan hidup di bandar dengan kesalinghubungan (connectivity) yang mudah dan bersepadu.
"Ini juga selaras dengan visi untuk menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai CHASE City (bersih, sihat, maju, selamat dan mesra alam) sekali gus menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai sebuah bandar raya yang berdaya huni bagi semua lapisan masyarakat," katanya.
Comments