Seramai 44,139 orang pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan menerima Bantuan Khas Sumbangan Tunai (BKST) Fasa 2 tahun 2024.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, menerusi bantuan itu pesawah yang layak akan menerima RM200 sebulan yang diagihkan untuk tempoh tiga bulan atau semusim penanaman padi.
Ia dijangka membabitkan peruntukan berjumlah lebih RM26.48 juta.
"Kita harapkan bantuan ini dapat membantu meringankan beban pesawah yang menghadapi kesan perubahan cuaca yang tidak menentu…apa yang berlaku ini bukan saja dihadapi negara kita tetapi juga negara maju.
"Cuma kalau di negara seperti Amerika Syarikat itu dia ada teknologi canggih dari sudut amaran awal, kita pun ada amaran awal misalnya gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku 9 hingga 14 Disember, memang hujan lebat turun di utara dan Pantai Timur tetapi tidak sehebat sebelum itu," katanya dipetik selepas menghadiri Program Ihsan Madani-Penyerahan BKST Fasa 2 di Jerlun, Kedah pada Khamis.
Pada majlis berkenaan, sebanyak 250 pesawah menerima bantuan BKST Fasa 2 terdiri daripada pesawah dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kerpan, PPK Kubang Sepat, PPK Jerlun dan PPK Kuala Sungai.
Bagi pesawah lain, bantuan tersebut akan disalurkan ke akaun bank masing-masing bermula minggu depan.
Sementara itu Mohamad turut memaklumkan, seramai 4,854 orang pesawah MADA akan menerima bantuan wang ihsan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) berjumlah lebih RM10.48 juta.
Bantuan disalurkan kepada pesawah-pesawah yang terkesan dan terjejas akibat bencana banjir di kawasan MADA membabitkan kawasan seluas 5,976 hektar pada September dan Oktober lalu.
Comments